Istanbul: Iran meluluskan pada Sabtu laluan kapal yang membawa barangan kemanusiaan dan keperluan asas melalui Selat Hormuz, menurut sepucuk surat daripada pejabat pembangunan perdagangan Kementerian Pertanian, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.
Disokong oleh kerajaan dan angkatan tentera, arahan itu membenarkan kapal yang membawa barangan keperluan asas dan makanan ternakan melalui laluan itu mengikut protokol yang ditetapkan, menurut laporan itu.
Susulan kelulusan tersebut, persatuan industri memaklumkan kepada syarikat ahli masing-masing agar meneruskan penghantaran kapal kargo ke pelabuhan di selatan Iran selepas sekatan sebelum ini ditarik balik, menurut laporan itu lagi.
Ketegangan di rantau itu semakin meningkat sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb, yang setakat ini meragut nyawa lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
© New Straits Times Press (M) Bhd




