Iran nafi lancar peluru berpandu ke atas Diego Garcia

Iran nafi lancar peluru berpandu ke atas Diego Garcia
Iran nafi lancar peluru berpandu ke atas Diego Garcia

Penafian itu dibuat selepas Wall Street Journal melaporkan pada Jumaat bahawa dua peluru berpandu balistik jarak sederhana telah dilancarkan ke arah pangkalan berkenaan, namun kedua-duanya tidak mengenai sasaran. Foto Agensi

ISTANBUL – Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Al Jazeera pada Ahad bahawa Iran tidak bertanggungjawab dan bukan dalang di sebalik serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Diego Garcia di Lautan Hindi, lapor Agensi Anadolu.

Penafian itu dibuat selepas Wall Street Journal melaporkan pada Jumaat bahawa dua peluru berpandu balistik jarak sederhana telah dilancarkan ke arah pangkalan berkenaan, namun kedua-duanya tidak mengenai sasaran.

Pentagon tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan Anadolu untuk mendapatkan ulasan.

Diego Garcia merupakan satu daripada dua pangkalan yang dibenarkan oleh United Kingdom (UK) untuk digunakan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada kempen menentang Iran.

Insiden itu menarik perhatian kerana jarak Diego Garcia kira-kira 4,000 kilometer dari Iran, iaitu dua kali ganda daripada had 2,000 kilometer yang sebelum ini dinyatakan oleh Menteri Luar Abbas Araghchi sebagai had keupayaan peluru berpandu Iran.

Pulau berkenaan yang merupakan pulau terbesar di Kepulauan Chagos di tengah Lautan Hindi, telah menempatkan kehadiran tentera bersama AS-UK sejak 1970-an dan berfungsi sebagai pangkalan untuk pesawat pengebom jarak jauh serta aset strategik lain. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Pegawai kanan Iran menafikan tanggungjawab atas serangan peluru berpandu ke pangkalan tentera Diego Garcia
  • Serangan tersebut dilaporkan oleh Wall Street Journal melibatkan dua peluru berpandu balistik yang tidak mengenai sasaran
  • Pentagon belum memberikan respons terhadap laporan tersebut
  • Diego Garcia adalah pangkalan yang digunakan oleh AS dengan izin UK untuk kempen menentang Iran
  • Pangkalan itu terletak kira-kira 4000 kilometer dari Iran, dua kali ganda daripada had keupayaan peluru berpandu Iran yang dinyatakan sebelum ini
Scroll to Top