Iran namakan Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Agung baharu

Iran namakan Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Agung baharu

DUBAI/BAITULMAQDIS – Iran telah menamakan Mojtaba Khamenei iaitu anak lelaki kedua kepada Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei sebagai Pemimpin Agung baharu ketika negara itu berdepan tekanan ketenteraan berterusan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Anggota Assembly of Experts, Ayatollah Hosseinali Eshkevari yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi republik itu berkata, undian telah dijalankan dan keputusan rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat. 

Menurutnya, “nama Khamenei akan terus kekal” sekali gus mengesahkan Mojtaba calon paling dominan dalam proses pemilihan.

Pelantikan itu berlaku selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan awal oleh tentera AS dan Israel lebih seminggu lalu. 

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk mencampuri proses pemilihan pemimpin baharu Iran, tetapi ditolak keras oleh Teheran, sekali gus menambah ketegangan sedia ada.

Mojtaba calon paling kuat

Sumber rapat kepimpinan Iran memaklumkan, Mojtaba, 56, kekal sebagai calon paling kuat untuk menggantikan ayahnya. 

Pelantikannya dijangka mengekalkan penguasaan golongan garis keras dalam struktur pemerintahan Iran, terutama memandangkan pengaruhnya dalam pasukan keselamatan dan jaringan ekonomi utama negara itu.

Dalam masa sama, laporan menyebut AS dan Israel sedang mempertimbangkan kemungkinan mengerahkan pasukan khas untuk mengambil alih stok uranium diperkaya Iran jika perang memasuki fasa baharu. 

Bagaimanapun, Trump menyatakan langkah itu hanya dipertimbangkan sekiranya kemampuan ketenteraan Iran benar-benar lumpuh.

Setakat ini, lebih 1,300 orang awam Iran dilaporkan terbunuh, manakala ribuan lagi cedera dalam siri serangan berterusan.

Serangan Iran pula mengorbankan beberapa nyawa di Israel.

Anggota tentera AS yang terkorban turut meningkat, sementara Israel melaporkan dua anggotanya mati dalam serangan di selatan Lubnan.

Tekanan meningkat

Dalam perkembangan berkaitan, Israel meningkatkan siri serangan ke atas beberapa lokasi strategik di Iran, termasuk depot minyak di Teheran yang menyebabkan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara ibu kota. 

Beberapa pegawai kanan Iran turut dilaporkan terbunuh dalam serangan tersebut.

Tentera AS melaporkan kematian ketujuh anggotanya susulan serangan balas Iran pada minggu pertama operasi. 

Terdahulu, Presiden Trump menyambut ketibaan enam mayat anggota tentera dalam satu upacara ketenteraan. 

Trump menegaskan, AS tidak bercadang berunding dan terus menekan Iran untuk menyerah tanpa syarat.

Iran turut melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke beberapa negara Teluk termasuk Arab Saudi, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain. 

Serangan itu mengakibatkan kematian dan kerosakan besar infrastruktur, termasuk kebakaran besar di sebuah bangunan kerajaan di Kuwait serta kerosakan pada loji penyahgaraman di Bahrain.

UAE melaporkan, pertahanan udaranya berjaya menembak jatuh sejumlah besar peluru berpandu dan dron, namun beberapa serangan tetap melepasi sistem pertahanan negara tersebut. 

Arab Saudi pula memberi amaran bahawa serangan berterusan ke atas wilayah dan sektor tenaganya boleh memaksa Riyadh bertindak balas.

Lubnan turut menjadi medan perang

Situasi turut memuncak di Lubnan apabila kumpulan Hezbollah melancarkan roket dan dron ke wilayah Israel. 

Israel bertindak balas dengan serangan udara besar-besaran, termasuk serangan ke atas sebuah hotel di Beirut yang didakwa menempatkan komander Iran. 

Serangan itu mengakibatkan korban jiwa di pusat bandar. – Awani 

Ringkasan AI

  • Mojtaba Khamenei dilantik sebagai Pemimpin Agung Iran menggantikan ayahnya selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan AS dan Israel
  • Pelantikan Mojtaba mengekalkan penguasaan garis keras dalam pemerintahan Iran dengan pengaruh kuat dalam pasukan keselamatan dan ekonomi
  • AS dan Israel meningkatkan tekanan militer terhadap Iran, termasuk pertimbangan mengambil alih stok uranium diperkaya Iran
  • Lebih 1,300 orang awam Iran terbunuh dan ribuan cedera dalam serangan berterusan, sementara serangan balas Iran juga mengakibatkan korban jiwa
  • Iran melancarkan serangan ke beberapa negara Teluk, meningkatkan ketegangan regional dan menyebabkan kematian serta kerosakan infrastruktur
Scroll to Top