Iran pertimbang benarkan kapal tangki melalui Selat Hormuz guna mata wang Yuan

Iran pertimbang benarkan kapal tangki melalui Selat Hormuz guna mata wang Yuan
Iran pertimbang benarkan kapal tangki melalui Selat Hormuz guna mata wang Yuan

Selat Hormuz. Foto: Reuters

TEHERAN – Iran dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan beberapa kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz dengan syarat transaksi dilakukan menggunakan mata wang Yuan China.

CNN yang memetik seorang pegawai kanan Iran melaporkan bahawa kebenaran tersebut hanya akan diberikan sekiranya urus niaga dilakukan menggunakan mata wang rasmi China itu.

Menurut pegawai yang tidak dinamakan itu, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha Teheran mengawal selia pergerakan kapal tangki di laluan strategik berkenaan ketika ketegangan di rantau tersebut terus meningkat.

Tindakan itu dilihat sebagai bentuk tekanan ekonomi yang sering digambarkan sebagai ‘penyahdolaran’, iaitu usaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).

Dengan menuntut pembayaran dalam yuan, Iran berusaha memintas sistem kewangan AS serta sekatan Barat yang dikenakan terhadap negara itu.

Langkah tersebut juga berpotensi memaksa pembeli antarabangsa membuat pilihan sama ada mematuhi peraturan kewangan AS atau berdepan risiko kehilangan akses kepada bekalan tenaga.

Dalam masa sama, pendekatan itu dilihat sebagai usaha strategik Tehran melibatkan China sebagai potensi penjamin keselamatan bagi laluan Selat Hormuz.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pada awal pagi Sabtu bahawa serangan telah dilancarkan terhadap sasaran ketenteraan Iran di Pulau Kharg.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada serangan yang menyasarkan infrastruktur minyak Iran.

Trump turut memberi amaran bahawa sebarang gangguan terhadap laluan selamat kapal di Selat Hormuz boleh mengubah keadaan tersebut.

Sebagai tindak balas, Markas Khatam al-Anbiya memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap kemudahan tenaga di Pulau Kharg akan mencetuskan serangan balas terhadap infrastruktur minyak di rantau itu yang dimiliki atau bekerjasama dengan syarikat dari AS.

Pulau Kharg merupakan terminal eksport minyak utama Iran yang mengendalikan kira-kira 90 peratus eksport minyak mentah negara tersebut.

Pulau itu juga berfungsi sebagai hab industri yang dilengkapi kemudahan pertahanan di Teluk Parsi.

Penganalisis melihat perbezaan yang dibuat Trump antara sasaran ketenteraan dan infrastruktur minyak sebagai satu amaran keras kepada Tehran.

Sebelum ini, The Wall Street Journal melaporkan bahawa konflik antara AS, Israel dan Iran berpotensi membawa kepada penutupan Selat Hormuz, sekali gus memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global.

Scroll to Top