Tehran: Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memaklumkan bahawa mereka sedang menyiapkan persiapan akhir bagi menguatkuasakan syarat operasi baharu di Selat Hormuz, laluan yang hampir ditutup sepenuhnya sejak peperangan dengan Amerika Syarikat dan Israel bermula.
“Angkatan laut IRGC sedang melengkapkan persediaan operasi bagi pelan yang diumumkan pihak berkuasa Iran berhubung aturan baharu di Teluk Parsi,” jelas pasukan laut berkenaan melalui hantaran di platform X pada Ahad.
Pihak terbabit memberi amaran bahawa keadaan di selat itu tidak akan kembali kepada status asal, terutamanya bagi Amerika Syarikat dan Israel.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memperbaharui ancaman untuk menyerang loji kuasa serta jambatan di Iran sekiranya laluan perkapalan penting itu tidak dibuka semula.
Iran hanya membenarkan trafik terhad melalui laluan air itu sejak peperangan tercetus pada 28 Februari, sekali gus menjejaskan aliran kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia.
Agensi berita rasmi Oman melaporkan pada Ahad bahawa Iran dan Oman telah mengadakan perbincangan bagi memudahkan laluan merentasi selat itu yang masih tertutup kesan daripada konflik yang berlaku.
Beberapa minggu kebelakangan ini, ahli parlimen Iran mencadangkan pelaksanaan tol serta cukai terhadap kapal yang melalui laluan air berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




