24 Jun 2025 08:34pm
Masa membaca: 4 minit

Rakyat Iran memeriksa ambulans Bulan Sabit Merah Iran yang musnah semasa serangan Israel, di Teheran pada Isnin. Foto AFP
TEHERAN – Kementerian Kesihatan Iran hari ini mengesahkan sekurang-kurangnya 610 rakyatnya terbunuh dan 4,746 lagi cedera dalam tempoh 12 hari serangan udara oleh Israel sejak 13 Jun lalu, menjadikan ini antara krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden negara itu.
Jurucakap kementerian, Hossein Kermanpour berkata seramai 971 mangsa masih dirawat di hospital, manakala 687 telah menjalani pembedahan, lapor Al Jazeera.
Antara yang terkorban termasuk 13 kanak-kanak – yang termuda berusia dua bulan – serta 49 wanita, termasuk dua yang sedang hamil.
Beliau turut memaklumkan bahawa lima petugas kesihatan terbunuh dan 20 lagi cedera dalam serangan tersebut.
Infrastruktur perubatan turut terjejas teruk, dengan tujuh hospital, enam pangkalan kecemasan, empat klinik dan sembilan ambulans dilaporkan rosak atau musnah.
Kementerian Kesihatan Iran menyifatkan angka korban ini sebagai bukti bahawa serangan Israel menyasarkan kawasan awam dan bukan hanya kemudahan ketenteraan. – Awani