Iran sahkan ketua perisikan IRGC maut dalam serangan AS-Israel

Iran sahkan ketua perisikan IRGC maut dalam serangan AS-Israel

Istanbul: Iran pada Isnin mendedahkan bahawa ketua Pertubuhan Perisikan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) maut dalam satu serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Penyiar rasmi negara, IRIB, yang memetik kenyataan IRGC memaklumkan Mejar Jeneral Seyed Majid Khademi telah “syahid” dalam serangan itu.

Khademi dilantik menerajui cabang perisikan IRGC pada Jun 2025 selepas kematian penyandang sebelumnya, Jeneral Mohammad Kazemi, yang turut terkorban dalam serangan Israel.

Ketegangan serantau memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Operasi itu setakat ini meragut lebih 1,340 nyawa, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ali Khamenei.

Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Tindakan ini mengakibatkan kemalangan jiwa serta kerosakan infrastruktur, selain menjejaskan pasaran global dan sektor penerbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top