TEHERAN: Iran memfailkan saman terhadap Amerika Syarikat (AS) di The Hague berhubung serangan ke atas kemudahan nuklearnya, pelaksanaan sekatan ekonomi serta ancaman penggunaan kekerasan.
Kerajaan Republik Islam Iran memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Timbang Tara Iran-AS atas dakwaan pencerobohan ketenteraan AS terhadap kemudahan nuklear Iran, pelaksanaan sekatan ekonomi dan ancaman penggunaan kekerasan.
Menurut laporan Agensi Berita Tasnim, saman itu difailkan berdasarkan peruntukan Deklarasi Algiers 1981 susulan dakwaan pelanggaran tanggungjawab antarabangsa oleh AS ketika perang 12 hari terhadap Iran pada Jun tahun lalu.
Dalam petisyen yang didaftarkan di bawah tajuk Kes A-34, Iran memetik perenggan pertama Deklarasi Algiers sambil memperincikan dakwaan pelanggaran komitmen oleh AS sepanjang perang tersebut, termasuk sekatan ekonomi dan ancaman penggunaan kekerasan.
Iran meminta mahkamah mengisytiharkan AS melanggar perenggan pertama deklarasi berkenaan dan mengarahkan Washington menghentikan campur tangan secara langsung atau tidak langsung dalam urusan dalaman Iran.
Teheran juga menuntut jaminan pelanggaran serupa tidak akan berulang serta pampasan penuh terhadap kerugian yang dialaminya.
Berdasarkan perenggan pertama Deklarasi Algiers, kerajaan AS berjanji untuk tidak campur tangan secara langsung atau tidak langsung, sama ada secara politik atau ketenteraan, dalam hal ehwal dalaman Iran.




