Iran sasar 14 pangkalan tentera AS di rantau Asia Barat

Iran sasar 14 pangkalan tentera AS di rantau Asia Barat
Iran sasar 14 pangkalan tentera AS di rantau Asia Barat

Jejak roket kelihatan di ruang udara Netanya ketika beberapa peluru berpandu dilancarkan ke arah Israel pada 7 Mac lalu. – AFP

TEHERAN – Iran menyasarkan 14 pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Barat dalam tempoh tujuh hari sejak serangan dilancarkan oleh AS dan Israel terhadap negara itu.

Jurucakap tentera Iran, Brigedier Jeneral Abolfazl Shekarchi berkata, kebanyakan pangkalan tentera AS di rantau berkenaan telah musnah sepenuhnya dan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk dibina semula.

Beliau berkata demikian dalam wawancara televisyen pada Jumaat malam seperti dilaporkan agensi berita Mehr.

Mengulas kehadiran kapal milik AS dan Israel di rantau berkenaan, Shekarchi berkata, kapal dari kedua-dua negara itu akan menjadi sasaran tentera Iran jika cuba melalui Selat Hormuz.

“Semua kapal dibenarkan melalui Selat Hormuz kecuali kapal milik AS dan Israel,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara negara serantau bagi menghadapi ancaman luar.

Menurutnya, AS dan Israel telah memulakan perang terhadap Iran sekali gus mencetuskan ketidakstabilan kepada negara-negara di rantau itu.

Shekarchi turut menggesa negara serantau bekerjasama bagi mengusir pangkalan tentera AS dari kawasan berkenaan.

Pada masa sama, beliau mengkritik strategi AS di Asia Barat yang disifatkan sebagai dasar berbahaya kerana mencetuskan konflik di rantau tersebut.

Pada 28 Februari lalu, AS dan Israel melancarkan serangan ke beberapa lokasi di Iran termasuk ibu negara, Teheran, sebelum Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas empat pangkalan tentera AS di Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu. – Bernama

Ringkasan AI

  • Iran menyasarkan 14 pangkalan tentera AS di Asia Barat dalam tempoh tujuh hari
  • Kebanyakan pangkalan tentera AS musnah sepenuhnya dan memerlukan lima tahun untuk dibina semula
  • Kapal milik AS dan Israel akan menjadi sasaran Iran jika melalui Selat Hormuz
  • Iran menggesa kerjasama antara negara serantau bagi menghadapi ancaman luar
  • AS dan Israel telah memulakan perang terhadap Iran, mencetuskan ketidakstabilan di rantau tersebut
Scroll to Top