Riyadh: Serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi mencederakan 10 tentera Amerika Syarikat (AS) termasuk dua parah dan merosakkan beberapa pesawat AS yang sedang mengisi minyak, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media pada Jumaat.
Pegawai berkata, serangan itu turut membabitkan kenderaan udara tanpa pemandu, menurut The Wall Street Journal.
Serangan itu berlaku ketika ketegangan serantau kian meruncing, dengan Markas Pemerintahan Pusat (CENTCOM) AS melaporkan lebih 300 tentera AS mengalami kecederaan selepas empat minggu perang melawan Iran.
Setiausaha Negara Marco Rubio berkata, perang mungkin berlanjutan untuk “dua hingga empat minggu lagi,” dan menghalang Iran daripada mengenakan tol ke atas kapal yang menyeberangi Selat Hormuz akan menjadi cabaran utama selepas perang.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai “melanggar undang-undang” dan “berbahaya kepada dunia.”
Sementara itu, Israel melakukan serangan meluas ke atas tapak berkaitan nuklear Iran dan kemudahan senjata.
Iran juga menghalang dua kapal kontena milik China daripada memasuki Selat Hormuz dalam apa yang disifatkan pegawai sebagai langkah luar biasa.
Harga minyak naik melebihi AS$100 setong berikutan perkembangan itu, manakala saham AS merosot selepas Presiden Donald Trump menghentikan serangan ke atas sektor tenaga Iran.
Dalam perkembangan berasingan, kumpulan berkaitan Iran berkata, ia menggodam akaun e-mel peribadi Pengarah FBI Kash Patel.
Iran bertindak balas terhadap serangan AS-Israel ke atas wilayahnya dengan gelombang serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Konflik mengakibatkan korban dan kerosakan infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




