Tehran: Presiden Masoud Pezeshkian pada Ahad berkata, Iran tidak mahu berperang dengan Israel tetapi sedia memberikan tindak balas yang sesuai terhadap serangan zionis di tapak tenteranya.
“Kami tidak mahu perang tetapi kami akan mempertahankan hak negara dan negara kami,” kata Masoud ketika mesyuarat Kabinet, sambil menambah bahawa Iran akan memberikan tindak balas yang sewajarnya terhadap pencerobohan rejim zionis.
Pada Sabtu, Israel melakukan serangan udara di tapak tentera di Iran sebagai tindak balas kepada serangan 1 Oktober Teheran ke atas Israel
Ia adalah tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang yang disokong Iran dan seorang komander Pengawal Revolusi.
Israel memberi amaran kepada Tehran supaya tidak bertindak balas.
Masoud pula menyalahkan ketegangan serantau yang memuncak atas pencerobohan Israel dan sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu, yang tidak diiktiraf oleh Tehran.
“Jika pencerobohan rejim zionis dan jenayahnya berterusan, ketegangan akan merebak.
“AS sudah berjanji untuk menamatkan perang sebagai balasan atas kekangan kami, tetapi mereka tidak mengotakan janji,”katanya.
Iran menggesa perang Gaza dihentikan, yang dicetuskan oleh serangan 7 Oktober ke atas Israel tahun lalu, yang dilakukan oleh kumpulan pejuang Palestin Hamas yang disokong Tehran.
Iran juga menyokong kumpulan bersenjata lain di rantau ini termasuk Hizbullah Lubnan yang berperang habis-habisan dengan tentera Israel sejak sebulan lalu selepas setahun pertukaran intensiti rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd