
Pasukan bola sepak Iran masih belum pasti sama ada akan menyertai Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di AS.
PASUKAN bola sepak kebangsaan Iran membidas kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyifatkan penyertaan negara itu dalam saingan Piala Dunia FIFA 2026 sebagai tidak wajar.
Dalam satu kenyataan rasmi, pasukan berkenaan menegaskan bahawa kejohanan global tersebut ditadbir urus sepenuhnya oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan bukannya tertakluk kepada telunjuk mana-mana individu mahupun negara tertentu.
“Piala Dunia adalah satu acara bersejarah dan bertaraf antarabangsa dan badan induknya ialah FIFA, bukan mana-mana negara secara individu.
“Pasukan kebangsaan Iran, menerusi kekuatan dan rentetan kemenangan meyakinkan yang dilakar oleh anak-anak watan Iran yang berani, merupakan antara pasukan terawal yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan utama ini,” jelas kenyataan tersebut.
Lebih lantang, pasukan itu turut melontarkan sindiran tajam kepada AS yang merupakan antara penganjur bersama kejohanan berprestij itu pada tahun ini.
“Sudah tentu tiada siapa yang boleh menyingkirkan pasukan kebangsaan Iran daripada Piala Dunia.
“Satu-satunya negara yang patut disingkirkan hanyalah negara yang sekadar memegang gelaran ‘tuan rumah’ tetapi hakikatnya gagal menyediakan jaminan keselamatan untuk pasukan-pasukan yang bertanding dalam acara global ini,” tegas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Trump menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social, mengeluarkan kenyataan kontroversi yang mempersoalkan kehadiran pasukan Iran di kejohanan berkenaan.
“Pasukan bola sepak kebangsaan Iran dialu-alukan ke Piala Dunia, namun saya benar-benar tidak percaya adalah wajar untuk mereka berada di sana, demi nyawa dan keselamatan mereka sendiri,” kata Trump.
Ringkasan AI
- Pasukan bola sepak kebangsaan Iran membidas kenyataan Presiden AS, Donald Trump tentang penyertaan mereka dalam Piala Dunia FIFA 2026 sebagai tidak wajar
- Mereka menegaskan Piala Dunia ditadbir urus oleh FIFA dan bukan tertakluk pada mana-mana negara atau individu
- Pasukan Iran merupakan antara pasukan pertama yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan tersebut
- Pasukan itu melontarkan sindiran kepada AS sebagai penganjur yang gagal menyediakan jaminan keselamatan untuk pasukan yang bertanding
- Trump meragui kewajaran kehadiran pasukan Iran di Piala Dunia demi nyawa dan keselamatan mereka



