Iran teruskan eksport minyak dari Pulau Kharg meskipun diserang AS-Israel

Iran teruskan eksport minyak dari Pulau Kharg meskipun diserang AS-Israel
Iran teruskan eksport minyak dari Pulau Kharg meskipun diserang AS-Israel

Pulau Kharg merupakan hab eksport minyak utama Iran. Foto: Agensi

ISTANBUL – Eksport minyak dari Pulau Kharg, terminal eksport minyak utama Iran di Teluk Parsi, diteruskan seperti biasa meskipun terdapat serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada awal pagi Sabtu, kata seorang pegawai wilayah, lapor Anadolu Ajansi.

Ehsan Jahanian, timbalan gabenor wilayah Bushehr berkata: “Aktiviti syarikat minyak di terminal eksport ini diteruskan seperti biasa walaupun terdapat serangan Zionis-Amerika pada awal pagi Sabtu.”

Beliau menambah bahawa “operasi eksport dan import serta aktiviti syarikat yang berpangkalan di pulau itu masih berjalan.”

Jahanian juga berkata “kehidupan harian dan aktiviti rutin penduduk diteruskan dalam keadaan teratur sepenuhnya.”

Menurut pegawai itu, “serangan Zionis-Amerika tidak menyebabkan kemalangan jiwa dalam kalangan anggota tentera, pekerja syarikat, mahupun penduduk Pulau Kharg.”

Pada Jumaat, Presiden AS Donald Trump berkata bahawa AS telah memusnahkan semua sasaran ketenteraan di Pulau Kharg dan mengancam untuk menyerang infrastruktur minyak pulau itu jika Iran terus menyekat kapal di Selat Hormuz.

Pulau Kharg merupakan hab eksport minyak utama Iran, yang mengendalikan kira-kira 90-95 peratus eksport minyak mentah negara itu, dengan kira-kira 1.7 juta tong sehari pada tahun lepas.

Pulau tersebut berfungsi sebagai komponen utama sistem tenaga Iran dan sumber pendapatan kerajaan yang penting.

Iran secara berkesan telah menutup Selat Hormuz sejak 1 Mac, susulan pelancaran serangan bersama oleh Israel dan AS terhadap Iran pada 28 Februari, yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei. Permusuhan sejak itu semakin memuncak.

Teheran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, yang mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan pada infrastruktur awam. – Bernama–Anadolu

Ringkasan AI

  • Eksport minyak dari Pulau Kharg, terminal eksport utama Iran, diteruskan seperti biasa meskipun serangan AS-Israel
  • Timbalan gabenor wilayah Bushehr menyatakan operasi eksport dan import serta aktiviti syarikat masih berjalan
  • Serangan tersebut tidak menyebabkan kemalangan jiwa dalam kalangan anggota tentera, pekerja syarikat atau penduduk Pulau Kharg
  • Pulau Kharg mengendalikan sekitar 90-95 peratus eksport minyak mentah Iran
  • Iran telah menutup Selat Hormuz sejak 1 Mac susulan serangan bersama oleh Israel dan AS
Scroll to Top