
Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai dengan Amerika Syarikat bertindak sebagai tuan rumah bersama Kanada dan Mexico.
IRAN tidak akan menyertai Piala Dunia 2026 susulan konflik peperangan antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi negara tersebut, Ayatollah Ali Khamenei.
Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai dengan Amerika Syarikat bertindak sebagai tuan rumah bersama Kanada dan Mexico.
Iran dijadual memulakan kempen dengan menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun. Pasukan itu kemudiannya akan beraksi menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Menurut Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali, penyertaan Iran dalam kejohanan tersebut tidak akan berlaku kerana situasi keselamatan yang tidak menentu selepas serangan udara yang mengorbankan Khamenei.
“Dengan kerajaan ini telah membunuh pemimpin kami, kami tidak boleh menyertai Piala Dunia. Pemain kami tidak mempunyai jaminan keselamatan.
“Sudah tentu kami tidak mempunyai kemungkinan untuk menyertai kejohanan tersebut,” katanya seperti dipetik agensi berita Mehr News.
Serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu mengorbankan Khamenei. Dua hari selepas kejadian itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, memaklumkan bahawa situasi tersebut menyukarkan negara itu untuk menantikan Piala Dunia dengan penuh harapan.
Awal bulan ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika ditanya mengenai kemungkinan penyertaan Iran dalam Piala Dunia berkata beliau tidak mengambil peduli mengenai perkara tersebut.
Setakat ini masih belum jelas bagaimana badan induk bola sepak dunia, FIFA akan menangani penarikan diri Iran daripada kejohanan tersebut.
Menurut peraturan Piala Dunia 2026, sekiranya mana-mana persatuan ahli yang layak menarik diri atau disingkirkan daripada kejohanan itu, FIFA mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan dan mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu, termasuk menggantikan pasukan tersebut dengan pasukan lain.
Ringkasan AI
- Iran tidak akan menyertai Piala Dunia 2026 kerana konflik peperangan dengan Amerika Syarikat dan Israel yang mengakibatkan kematian Ayatollah Ali Khamenei
- Piala Dunia 2026 dijadualkan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai
- Iran sepatutnya memulakan kempen melawan New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun
- Menurut Menteri Sukan Iran, situasi keselamatan yang tidak menentu sejak serangan udara menyebabkan penyertaan Iran tidak mungkin
- FIFA mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan tentang penarikan diri Iran, termasuk menggantikan pasukan tersebut dengan pasukan lain



