Iran umum kenaikan gaji minimum lebih 60 peratus

Iran umum kenaikan gaji minimum lebih 60 peratus

TEHERAN: Menteri Buruh Iran mengumumkan kenaikan gaji minimum lebih daripada 60 peratus, beberapa bulan selepas protes antikerajaan yang bermula sebagai luahan ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi negara itu.

Negara itu menyesuaikan gaji minimumnya setiap tahun untuk mengambil kira inflasi, yang melonjak akibat sekatan antarabangsa dalam beberapa bulan menjelang perang antara Iran dan musuhnya Israel serta Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita Tasnim yang memetik Menteri Buruh berkata, dengan kelulusan kerajaan, gaji minimum bulanan akan meningkat daripada 103 juta rial kepada 166 juta rial pada tahun hadapan dalam kalendar Parsi, yang akan bermula beberapa hari lagi.

Ia juga mengumumkan kenaikan serupa bagi elaun sokongan kanak-kanak.

Mata wang Iran diniagakan pada kira-kira 1.47 juta rial bagi setiap dolar, menurut laman web pemantau Bonbast.

Demonstrasi ekonomi tercetus pada Disember tahun lalu, didorong oleh kos sara hidup yang tinggi dan penyusutan nilai mata wang negara.

Protes itu kemudian berkembang menjadi gerakan nasional menuntut pengakhiran pemerintahan ulama, yang berkuat kuasa sejak Revolusi Islam 1979.

Pihak berkuasa didakwa melancarkan tindakan keras terhadap protes itu, yang menurut kumpulan hak asasi manusia mengorbankan ribuan orang, sekali gus mendorong Presiden AS, Donald Trump mengancam campur tangan ketenteraan.- AFP

 

Scroll to Top