Irfan Bakti dedah kelemahan KRW

Irfan Bakti dedah kelemahan KRW

sukan@hmetro.com.my

Kota Bharu: Ketua Jurulatih Kelantan Red Warrior (KRW), Irfan Bakti Abu Salim mempertahankan anak buahnya susulan kekalahan ke atas Star City FC 2-5 dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Irfan berkata, dia mengakui punca kekalahan berturut-turut enam perlawanan atas faktor perbezaan fizikal pemain dengan lawan selain banyak dibolosi gol udara (aerial ball).

Katanya, ini berikutan pasukan hanya bertahan dengan dua import dan pemain tempatan sedia ada yang berfizikal jauh lebih rendah berbanding import pasukan lawan.

“Kalau dilihat pemain tengah saya, Faiz,Amul dan Muhaimin, ketinggian mereka tu tak setanding dengan pemain-pemain lawan.

“Kami kalah dari segi fizikal, kalah dari segi aerial ball (bola udara), saya cukup bimbang apabila kami terkena bola-bola tendangan sudut, cukup takut kerana ketinggian tadi lah,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, di sini.

Irfan berkata, pemain yang ada sudah memberikan persembahan terbaik termasuk mendapat dua jaringan menerusi Muhammad Mohd Faudzi dan Arham Khussyairi Ab Wahab.

Katanya, dia berharap untuk mendapatkan khidmat dua hingga tiga import bagi mengimbangi pasukan mengharungi baki saingan liga super berbanding kelebihan pelawat yang mempunyai empat import dan dua pemain naturalisasi dalam perlawanan malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top