Irma Hasmie kunci mulut soal status

Irma Hasmie kunci mulut soal status

am@hmetro.com.my

Bukit Jalil: Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, 43, memilih untuk tetap mengunci mulut membabitkan status terkininya yang didakwa sudah berumah tangga buat kali kedua ketika ini.

Irma berkata, perkara itu bukan menjadi keutamaannya kerana dia percaya apa pun penjelasan yang diberikan berkaitan status dirinya ketika ini tetap akan menjadi buah mulut orang.

“Saya minta maaf, bab peribadi saya lebih selesa untuk tidak menjawab. Saya tahu ramai yang tanya. Walaupun orang tanya secara peribadi atau melalui WhatsApp sekalipun, saya tetap berpegang pada pendirian yang sama. Bagi saya, lebih adil begitu.

“Saya rasa sama sahaja, kalau saya beritahu pun, orang akan tetap bercakap. Jadi lebih baik saya berdiam diri.

“Mengenai hal ini (status), saya rasa bukanlah untuk diuar-uarkan kepada umum. Bagi saya, yang tahu, tahulah,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan filem Hayya 3: Gaza yang berlangsung di Pavillion Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Ditanya kenapa dia memilih untuk merahsiakan statusnya pula, kata Irma, dia berasa bimbang kenyataannya nanti disalah tafsir sekali gus mahu menjaga hati banyak pihak.

“Saya pilih untuk diam sebab bila bercakap pun, nanti jadi sukar. Akan timbul pelbagai tafsiran dan andaian.

“Keluarga saya pun kena jaga, bukan sekadar anak-anak, tapi juga keluarga besar saya. Emak dan ayah sudah tiada, jadi saya kena fikir tentang ibu, pakcik, makcik dan keluarga sebelah sana. Saya tak nak membebankan mereka dengan isu-isu peribadi saya.

“Mengenai spekulasi orang, benda itu memang tak boleh dielak. Zaman sekarang, apa pun kita buat, orang tetap akan bercakap. Jadi lebih baik saya jaga percakapan dan elakkan fitnah,”katanya.

Untuk rekod, Irma pernah mendirikan rumah tangga dengan Redza Syah Azmeer pada 2012.

Pasangan itu dilaporkan berpisah sekitar Disember 2023 sebelum mengumumkan kepada umum, enam bulan kemudian.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syed Irfha,12 dan Irma Nur Naylie,11 yang kini berada di bawah jagaan Irma.

Redza kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Nur Hafiza Mohd Salim pada April 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top