lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dianugerahkan Felo Chartered Management Institute (FCMI) oleh Chartered Management Institute (CMI), United Kingdom.
WTCKL dalam kenyataan memaklumkan, anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CMI United Kingdom, Ann Francke pada Majlis Anugerah dan Penyampaian Sijil Felo AeU CMI di sini, semalam.
Menurutnya, pengiktirafan itu adalah hasil kerjasama strategik antara Asia e University (AeU) dan CMI UK yang bertujuan mengangkat tahap profesionalisme dan kepimpinan global melalui penganugerahan gelaran Felo CMI kepada tokoh terkemuka di rantau ini.
“FCMI adalah tahap keahlian tertinggi dalam CMI yang melambangkan pengalaman luas serta rekod prestasi yang konsisten dalam memberi impak strategik, inovasi dan kecemerlangan kepimpinan.
“Sebagai pemimpin utama WTCKL, Irmohizam bukan sahaja memainkan peranan penting dalam transformasi strategik dan digitalisasi pusat konvensyen ini, malah turut menjadi suara berpengaruh dalam landskap industri Acara Perniagaan di peringkat lokal dan antarabangsa.
“Beliau juga adalah alumni AeU dalam Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA),” menurut kenyataan itu, hari ini.
Katanya, sebagai seorang felo, Irmohizam Ibrahim kini menjadi sebahagian daripada komuniti profesional elit yang membentuk masa depan kepimpinan di UK dan peringkat antarabangsa.
“Pencapaian ini turut membuka akses kepada rangkaian eksklusif, sumber kepimpinan, serta peluang untuk menyumbang kepada dasar dan kepimpinan pemikiran di peringkat nasional,” katanya.
Sementara itu, Irmohizam berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih atas pengiktirafan oleh CMI.
“Dengan penganugerahan Felo ini, saya berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan kepimpinan yang beretika, inovatif dan berdaya saing di peringkat global, bukan sahaja dalam organisasi saya, malah merentasi sektor awam dan swasta dalam dunia yang semakin mencabar ini,” katanya.
Beliau turut berhasrat untuk menggunakan platform felo itu bagi membimbing pemimpin muda memperjuangkan kecemerlangan profesional dan memperkukuh kerjasama antarabaı dalam bidang pengurusan dan tadbir urus.
“Ia diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin muda negara yang mampu berdaya saing di peringkat dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




