Irmohizam dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UniSIRAJ

Irmohizam dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UniSIRAJ

Kuala Lumpur: Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, secara rasmi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ).

Pelantikan bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027 itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hala tuju institusi pendidikan tinggi di bawah naungan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Watikah pelantikan telah diperkenankan dan disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, merangkap Yang Dipertua MAIPs dalam satu majlis khas.

Majlis yang berlangsung bersempena Iftar Jamaie Ahli Majlis dan Jawatankuasa MAIPs itu turut disaksikan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Irmohizam berkata, beliau bertekad untuk memikul amanah berkenaan dengan memberikan tumpuan kepada aspek kelestarian dan perancangan strategik bagi memacu UniSIRAJ sebagai institusi yang lebih progresif.

“Hasrat saya adalah untuk menghubungkan jurang antara dunia pendidikan, keperluan industri dan pembangunan masyarakat melalui tadbir urus yang lebih mantap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pengalaman luas beliau dalam memimpin organisasi korporat akan digunakan sepenuhnya bagi mengangkat nama UniSIRAJ ke persada antarabangsa sekali gus menjadikannya lebih dinamik.

Beliau menyasarkan untuk memperkukuh keterlihatan institusi itu bukan saja di peringkat domestik, malah global melalui jaringan kerjasama strategik yang lebih meluas.

Sebagai tokoh yang sinonim dengan industri Acara Perniagaan (BE) antarabangsa, kepakaran Irmohizam diyakini mampu merapatkan sinergi antara sektor akademik dengan pemain industri utama.

Langkah itu termasuklah merancang penganjuran forum ilmu, persidangan perniagaan serta wacana ekonomi dan kewangan Islam yang berimpak tinggi di peringkat nasional dan global.

Irmohizam berkata, melalui inovasi berterusan dan pemanfaatan ekosistem industri, UniSIRAJ berpotensi besar untuk muncul sebagai institusi berdaya saing yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Sementara itu, pihak WTCKL percaya pelantikan ini akan membuka ruang kerjasama rentas sektor yang lebih luas, seterusnya memberikan nilai tambah kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia secara menyeluruh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top