Isak makin menjadi-jadi, Spurs hampa lagi

Isak makin menjadi-jadi, Spurs hampa lagi

London: Penyerang Newcastle United, Alexander Isak terus mempamerkan ketajamannya apabila menjaringkan gol penting untuk membantu pasukannya menundukkan Tottenham Hotspur 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur, tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi tandukan Dominic Solanke seawal minit keempat.

Gol itu menyemarakkan semangat penyokong Spurs yang hadir walaupun dalam keadaan cuaca sejuk di London utara.

Namun, Newcastle tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Anthony Gordon menjaringkan gol penyamaan yang penuh bergaya selang dua minit kemudian sekaligus meredakan tekanan pasukan pelawat.

Sebelum separuh masa pertama berakhir, Isak muncul wira Newcastle apabila meledak gol kedua yang menjadi penentu kemenangan, meneruskan rentak cemerlangnya selepas merekodkan lapan gol sepanjang bulan lalu.

Spurs yang berada dalam situasi sukar akibat kecederaan pemain-pemain utama cuba bangkit di separuh masa kedua.

Peluang terbaik hadir apabila rembatan Brennan Johnson terkena tiang, manakala James Maddison hampir menjaringkan gol penyamaan.

Namun, Newcastle tetap kental bertahan, termasuk sepanjang 10 minit masa kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan Newcastle berkongsi 35 mata dengan Chelsea di tangga keempat yang akan beraksi menentang Crystal Palace.

Spurs pula terus merudum di tangga ke-11 dengan hanya 24 mata selepas 19 perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top