Isak setuju sertai Liverpool

Isak setuju sertai Liverpool

Liverpool: Liverpool dilaporkan sudah mencapai persetujuan peribadi dengan penyerang Newcastle United, Alexander Isak, yang dijangka bakal menyertai skuad kendalian Arne Slot musim panas ini.

Pemain kebangsaan Sweden berusia 25 tahun itu dilapor nekad meninggalkan St James Park, dengan kontrak selama lima tahun sudah tersedia untuk dimeterai bersama The Reds.

Ketika ini, Isak menerima gaji sekitar £130,000 (RM793,000) seminggu bersama Newcastle, namun kemnya dilaporkan mahukan kenaikan kepada sekitar £300,000 (RM1.83 juta) seminggu.

Ejen pemain itu dikatakan kecewa apabila bekas pengarah sukan, Paul Mitchell, menolak untuk membuka rundingan baharu musim panas lalu.

Menurut laporan Sky Sport dari Perancis, Liverpool bersedia memenuhi permintaan gaji itu.

Namun, rundingan perpindahan masih belum selesai apabila Liverpool kini perlu mendapatkan persetujuan yuran perpindahan dengan Newcastle yang enggan melepaskan pemain utama mereka dengan harga murah.

Pengurusan The Magpies menetapkan harga £150 juta (RM915 juta) untuk Isak, namun pihak Liverpool yakin mereka mampu menandatangani pemain itu pada harga sekitar £120 juta (RM732 juta).

Wakil kedua-dua kelab dijangka mengadakan pertemuan dalam beberapa hari akan datang.

Spekulasi perpindahan Isak bertambah kuat apabila penyerang itu dihantar pulang sebelum aksi pra-musim Newcastle yang menyaksikan mereka tewas 0-4 kepada Celtic awal bulan ini.

Penyerang yang menjaringkan 27 gol musim lalu itu turut tidak menyertai skuad Newcastle ke Asia untuk siri jelajah pramusim, dengan kelab hanya memberi alasan kecederaan paha ringan.

Namun, laporan turut mendedahkan bahawa Isak sudah pun memaklumkan kepada pengurusan kelab bahawa beliau mahu meninggalkan Newcastle.

Pengendali Newcastle, Eddie Howe berkata: “Dia masih pemain kami, masih terikat kontrak. Kami masih mengawal situasi ini, pada tahap tertentu.

“Saya masih percaya semua kemungkinan masih terbuka. Kami belum terima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab.

“Sudah tentu harapan saya ialah dia kekal dan terus bermain untuk kami musim depan, namun ia di luar kawalan penuh saya.”

Liverpool juga dijangka menjual Luis Diaz pada harga sekitar £65 juta (RM396 juta), yang boleh membantu membiayai sebahagian kos untuk mendapatkan Isak.

Pasukan kendalian Arne Slot itu sedang melalui musim perpindahan yang cukup agresif, apabila sudah membelanjakan kira-kira £270 juta (RM1.64 bilion) untuk mendapatkan Florian Wirtz, Hugo Ekitike, Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong.

Ekitike sebelum ini sedang dalam perbincangan dengan Newcastle, namun Liverpool bertindak pantas menyambar pemain itu dengan harga £79 juta (RM481 juta).

Newcastle pula kini terdesak mencari pengganti Isak selepas melepaskan Callum Wilson lebih awal musim panas ini, dan kini dikaitkan dengan bidaan bernilai £70 juta (RM427 juta) untuk penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top