Isak tiada, Howe pening kepala

Isak tiada, Howe pening kepala

Kuala Lumpur: Tergaru-garu Eddie Howe di bahagian kepalanya yang tak gatal, walaupun berjaya membawa pulang satu mata dari Villa Park selepas seri tanpa jaringan dengan Aston Villa pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2025/26 banyak kerja rumah perlu dilakukan selepas ini.

Ada serangan bahaya, ada usaha dari tiga rangkaian hadapan, Anthony Gordon, Anthony Elanga dan Harvey Barnes namun ia seakan kosong dan pengurus Newcastle itu memang terasa ketiadaan Alexander Isak.

Gordon nampak bahaya bila berlari dengan bola, tapi terkial-kial ketika berada di depan petak penalti, Barnes dan Elanga pula sudah berusaha keras namun belum nampak ketajaman yang mampu mengundang bahaya pertahanan lawan.

Isak yang tidak berlatih bersama skuad utama berikutan desas-desus akan meninggalkan The Magpies, membuatkan Toon Army resah, tambahan pula bila melihatkan tiada jaringan terhasil tatkala Villa beraksi 10 pemain sejak minit ke-66 (Ezri Konsa dilayangkan kad merah).

Howe perlu cepat selesaikan masalah ketumpulan di bahagian serangan dan jika benar Isak bukan lagi milik mereka Pak Arab pemilik kelab jangan kedekut sangat untuk mengeluarkan belanja mencari pengganti yang setanding.

Kalau tak dapat dua, Goncalo Ramos (Paris St Germain) dan Yoane Wissa (Brentford), satu pun sudah cukup memadai kerana bahagian tengah mereka Bruno Guimaraes, Sandro Tonali dan Joelinton mampu menggerakkan serangan bahaya.

Bahagian pertahanan yang cukup berdisiplin diketuai Fabian Schar, bersama tiga rakannya, Dan Burn, Kieran Trippier dan Valentino Livramento sudah tidak diusik lagi, tambahan pula dengan dua penjaga gol berpengalaman, Nick Pope serta Aaron Ramsdale.

Masalah bahagian serangan perlu diselesaikan segera kerana lawan selepas ini (26 Ogos) adalah juara bertahan, Liverpool, jadi jika tidak mahu penyokong setia menangis teresak-esak, situasi Isak perlu diselesaikan segera.

Takkan nak tunggu undian Liga Juara-Juara selesai baru hendak memiliki pasukan lengkap, jadi segerakan segala permasalahan biar St James Park sentiasa bergema, demi saingan domestik mahu pun Eropah.

Kalau boleh dapat pemain macam Santiago Nunez macam dalam movie Goal (2005) pun dah kira okay, boleh lupakan Isak selama-lamanya…..Jangan mara.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top