Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memberi amaran tegas terhadap penyalahgunaan subsidi petrol di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) susulan penularan satu video di media sosial.
Sekat MyKad individu salah guna subsidi

Menerusi hantaran di Facebook, MOF memaklumkan pihaknya memandang serius rakaman yang memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di sebuah stesen minyak.
Hasil siasatan mendapati individu terbabit adalah warganegara Malaysia serta pemegang MyKad. Tindakan tersebut disahkan melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah program BUDI95, sekali gus berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi dilaksanakan secara telus, bersasar dan berkesan.

Sehubungan itu, MOF memaklumkan tindakan tegas akan diambil dengan menyekat kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi berkenaan, selain pemilik kenderaan terbabit turut tidak lagi layak menikmati kemudahan BUDI95.
Dalam pada itu, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan atau salah guna subsidi, terutama dalam situasi semasa yang menuntut kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab ini,” menurut kenyataan itu.
Artikel lain: Kerajaan berjaya jimat RM800 juta sejak BUDI95 dilaksanakan -PM Anwar
Terdahulu, tular rakaman video di stesen minyak memaparkan perbuatan dua individu mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah tong yang diletakkan pada tempat letak barang sebuah kenderaan.

MOF memaklumkan kerajaan menghargai rakyat yang cakna serta menyalurkan aduan berhubung isu itu dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab.
Orang ramai dialu-alukan terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi dengan menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI menerusi talian 1300-88-9595 atau WhatsApp +603-26314595 atau e-mel [email protected].
Sumber: Facebook Kementerian Kewangan




