Islam bina masyarakat harmoni

Islam bina masyarakat harmoni

Islam meletakkan kewajipan menjaga hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan sebagai asas utama kehidupan bermasyarakat. Rasulullah SAW, sahabat dan salafussoleh menunjukkan teladan bahawa kasih sayang, keadilan serta ihsan mesti diamalkan terhadap semua pihak manakala menyakiti orang lain dilarang keras.

Dengan mengamalkan prinsip ini, Muslim bukan sahaja memperkukuh keharmonian dalam masyarakat majmuk, tetapi juga menzahirkan wajah sebenar Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Islam agama yang berteraskan rahmat, keadilan dan kasih sayang. Rahmat Islam tidak terbatas hanya kepada orang Islam, bahkan meliputi seluruh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Prinsip ini tersurat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya ayat 107)

Ayat ini menegaskan Rasulullah SAW diutus untuk membawa kasih sayang dan kedamaian kepada semua makhluk bukan hanya untuk umat Islam. Oleh itu, menjaga hubungan baik sesama manusia adalah tuntutan syarak yang berakar daripada konsep rahmatan lil-alamin. Islam bukan sahaja membina hubungan antara hamba dengan Allah, tetapi turut menekankan nilai akhlak dan ihsan dalam hubungan sosial.

Dalam sejarah Rasulullah SAW, terdapat banyak contoh nyata yang membuktikan keindahan ajaran ini. Ketika baginda di Makkah, walaupun ditentang dan disakiti oleh kaum Quraisy, baginda tetap dikenali sebagai al-Amin iaitu seorang yang jujur dan amanah. Gelaran ini diberi bukan oleh orang Islam semata-mata, tetapi juga oleh musyrikin Quraisy yang melihat sendiri keperibadian mulia baginda. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda memeterai Piagam Madinah yang mengiktiraf kepelbagaian agama dan keturunan.

Rasulullah SAW juga menunjukkan akhlak yang luhur terhadap bukan Islam dalam kehidupan seharian. Baginda pernah berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi. Apabila ditanya oleh sahabat mengapa baginda menghormati jenazah itu, baginda menjawab: “Bukankah dia juga seorang manusia?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memperlihatkan Islam memuliakan manusia atas dasar kemanusiaan bukan hanya kerana agama yang dianuti.

Begitu juga, Rasulullah SAW sentiasa menasihati umat Islam agar berbuat baik kepada jiran tanpa mengira agama, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran sehingga aku menyangka dia akan menjadikannya sebagai waris.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat Rasulullah SAW pula mencontohi akhlak baginda dengan melaksanakan dasar pemerintahan yang penuh belas kasihan terhadap semua rakyat. Saidina Umar al-Khattab RA ketika pemerintahannya pernah melihat seorang Yahudi tua meminta-minta.

Umar lalu mengambil keputusan untuk memberikan elaun tetap daripada baitulmal kepadanya dengan alasan bahawa keadilan Islam menuntut supaya orang bukan Islam yang hidup dalam negara Islam juga dipelihara.

Khalifah Umar Abdul Aziz pula terkenal dengan sikap adilnya yang meliputi semua rakyat tanpa mengira agama. Langkah ini menjadi bukti Islam tidak pernah membiarkan golongan bukan Islam terpinggir daripada perhatian sosial.

Larangan menyakiti orang lain juga prinsip utama dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim ialah orang yang Muslim lain selamat daripada lidahnya dan tangannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menekankan bahawa seorang Muslim sejati ialah yang menjaga percakapan dan perbuatannya supaya tidak menyakiti orang lain. Malah, ulama menegaskan larangan ini tidak hanya terbatas kepada sesama Muslim, tetapi juga merangkumi semua manusia kerana Islam ialah agama yang mengangkat martabat insaniah.

Al-Quran menegaskan prinsip keadilan dan larangan berbuat zalim dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; Dia melarang daripada melakukan perbuatan keji, mungkar dan kezaliman.” (Surah al-Nahl ayat 90)

Ayat ini menjadi asas kepada kewajipan umat Islam menjaga hubungan baik dengan semua pihak.

Pandangan ulama muktabar turut menguatkan hujah ini. Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddin menyatakan akhlak mulia adalah inti agama. Beliau menegaskan seseorang yang rajin beribadah, tetapi buruk akhlaknya terhadap manusia lain, sebenarnya belum memahami hakikat ibadah yang sejati. Ibn Qayyim al-Jawziyyah pula menyatakan syariat Islam dibina atas asas keadilan, kasih sayang dan hikmah. Oleh itu, setiap tindakan yang bercanggah dengan prinsip ini seperti menzalimi manusia, menimbulkan permusuhan atau menyakiti perasaan sebenarnya bertentangan dengan semangat agama.

Salafussoleh juga mengamalkan prinsip ini dalam kehidupan mereka. Diriwayatkan ramai dalam kalangan ulama tabiin dan generasi selepas sahabat tidak pernah membezakan layanan antara jiran Muslim dan bukan Muslim.

Kesimpulannya, Islam menegaskan kewajipan menjaga hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Rasulullah SAW, sahabat dan salafussoleh menunjukkan teladan bagaimana prinsip ini diamalkan dalam kehidupan nyata.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top