am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Umat Islam yang mencari rezeki dengan berniaga ketika Ramadan dinasihatkan supaya menghormati kod etika agama Islam.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengharapkan semua umat Islam faham dan tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan Islam.
Katanya, ia bagi menjaga kesucian Islam dan Ramadan supaya tidak dinodai, dicemari dengan perbuatan yang tidak diredai Allah SWT.
“Isu untuk menarik perhatian pelanggan ini tidak ada halangan untuk membuat iklan tetapi kena patuh kepada kehendak Islam.
“Jangan pula kerana nak tarik pelanggan sampai melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, contohnya mengumpat, ia dilarang bukan hanya Ramadan, malah di bulan yang lain juga tidak boleh mengumpat.
Katanya, dengan bahasa yang lain sama ada di luar atau dalam Ramadan, semua umat Islam perlu menghormati peraturan dan berakhlak Islam.
“Islam melarang lelaki menyerupai watak wanita dan wanita dilarang menyerupai lelaki. Lelaki biar kekal dengan kelelakian dan perempuan itu dengan keperempuanannya.
“Kalau seorang lelaki memakai pakaian wanita dan orang melihat merasakan dia wanita, jadi ia sudah berubah watak itu. Jadi ketika itu adalah dilarang (berpakaian wanita) supaya ia tidak menimbulkan kesamaran yang boleh menimbulkan sebarang salah sangka,” katanya.
Menurut beliau, antara akhlak Islam ialah tidak membuat sesuatu yang boleh mendatangkan salah faham dan curiga.
Terdahulu media melaporkan, tular video yang menyaksikan seorang lelaki berpakaian seperti duyung sambil berjoget di sebuah gerai menjual air balang dipercayai di Pengkalan Chepa.
Rakaman video berdurasi selama 26 saat itu tular di laman Facebook sejak semalam sehingga menerima kecaman netizen dengan menyifatkan perbuatan itu memalukan terutama dilakukan ketika Ramadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




