Ismail Bakar dilantik Pengerusi EAIC

Ismail Bakar dilantik Pengerusi EAIC

PETALING JAYA: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar dilantik Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan tujuh anggota EAIC termasuk Ismail untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Februari hingga 31 Januari 2027 selaras Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Katanya, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi EAIC.

Selain Ismail dan Prasad, lima anggota EAIC dilantik adalah Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Datuk Seri Razali Abd. Malik, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas, Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Siti Zainab Omar.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut memperkenan pelantikan Tan Sri Dr. Ismail Bakar sebagai Pengerusi dan Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham sebagai Timbalan Pengerusi EAIC.

“Semoga pelantikan ini akan memperkukuh pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang efektif dan berintegriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.

EAIC adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan melalui Akta Parlimen di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] yang diwartakan pada 3 September 2009 dan mula berkuat kuasa pada 1 April 2011.

Penubuhan EAIC selaras dengan sasaran kerajaan untuk menyemai dan meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan demi memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap mereka.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan merakamkan penghargaan kepada barisan Pesuruhjaya EAIC terdahulu yang diketuai Tan Sri Sidek Hassan dan bersama anggota lain, Tan Sri Datuk Zainun Ali, Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Datuk Wira Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’hara dan Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod yang melengkapkan perkhidmatan pada 30 Jun 2023. – UTUSAN

Scroll to Top