Ismail Izzani beri kasih sayang sama rata

Ismail Izzani beri kasih sayang sama rata

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hubungan lebih rapat dengan ibu, Suliza Salam, 59, tidak membuatkan pelakon, komposer dan penyanyi, Ismail Izzani, 24, hanya ‘memilih sebelah pihak’ untuk diberikan perhatian kasih sayang selepas ibu bapanya bercerai beberapa tahun lalu.

Ismail atau nama sebenarnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata, dia tetap menerima baik keputusan perpisahan yang berlaku itu kerana percaya semuanya terjadi bersebab di atas ketentuan takdir yang sudah tertulis.

“Perceraian ibu bapa saya adalah suatu perkara yang berat juga, sebab kalau boleh saya pun sudah berjanji pada diri sendiri untuk tidak berkongsi mengenainya di luar.

“Tapi, saya tetap menyayangi kedua-dua mereka. Terutama, sudah tentu saya sangat sayangkan ibu saya dan apapun semua keputusan ada di tangan mereka (ibu bapa).

“Alhamdulillah, saya juga menjalani kehidupan sihat sekarang umpama cuba mengisi ‘kotak kosong’ yang saya terlepas pandang. Contoh, macam saya selalu cakap mama memang sentiasa ada dengan saya dan sebagainya, tapi pada masa sama ketika ini saya juga kena luangkan masa dengan bapa saya,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Ismail ditemui hadir pada acara tandatangan peminat untuk lagu baharunya berjudul Iman hasil ciptaan dan lirik ditulis oleh Joe Flizzow di sebuah butik pakaian terkemuka di ibu kota, semalam.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini berkata, dia bagaimanapun menghormati keputusan bercerai yang dibuat ibu bapanya walaupun sedih dan merindui saat-saat indah mereka seisi keluarga berkumpul.

“Macam mama pun, asalkan mama rasa gembira dan selamat, itu lebih baik. Mungkin juga selepas ini dia (mama) boleh buat macam-macam benda yang dia rasa nak buat dan bagi saya, okaylah.

“Sedih itu sedihlah (ibu bapa bercerai), sebab kita sudah tentu merindui saat-saat indah seperti berkumpul sekeluarga ketika sambutan hari raya dan perubahan yang akan ada ini memang agak berat juga.

“Tapi, bagi saya sebagai seorang yang dewasa, saya kena terimanya tanpa terlalu emosi kerana saya perlu juga beri sokongan kepada ibu dan kakak saya sebagai lelaki tunggal di dalam keluarga.

“Selepas perpisahan (ibu bapa) ini terjadi, saya juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap ibu dan kakak saya untuk memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan okay,” katanya.

Suliza yang juga penyanyi terkenal pada era 1980-an dengan jolokan ‘penyanyi bermata kucing’ berkahwin dengan ahli perniagaan dikenali, Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 1990-an dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Ismail yang mengikuti jejak langkah ibunya dalam karier seni muncul dengan lagu pertama, Sabar pada 2017 ketika berusia 17 tahun, sebelum ini pernah juga terpalit kontroversi dengan beberapa wanita sebelum ini.

Menyepi selama dua tahun dari karier nyanyiannya sejak 2022 dengan memberi tumpuan masa kepada keluarga serta tamat kontrak dengan syarikat rakaman terdahulu, kini Ismail bernaung di bawah Def Jam Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top