Penyanyi dan penulis lirik berbakat, Ismail Izzani kini kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul ‘Tenggelam’.
‘Tenggelam’ merupakan sebuah lagu cinta yang penuh metafora dan menyentuh emosi, malah disampaikan menerusi melodi lembut dan lirik jujur yang dekat di hati pendengar.
Lagu yang ditulis oleh Ismail bersama Brendan Lim Seng Meng dengan gubahan muzik oleh Amanda Gnai Song Hui dan Brendan, serta diterbitkan oleh MFMF, ‘Tenggelam’ memperlihatkan sisi kematangan Ismail sebagai artis yang bukan sekadar penyanyi, tetapi juga pencerita emosi.
Kata Ismail, lagu ini bukan berkisarkan tenatang kehilangan sebaliknya cinta yang mendalam.
“Lagu ini bukan tentang kehilangan, tetapi tentang cinta yang sangat mendalam.
“Lagu ini menceritakan tentang rasa yang membungkus kita saat bertemu seseorang yang benar-benar memahami diri kita,” katanya.
Proses kreatif ‘Tenggelam’ berlaku secara semula jadi dan penuh spontan.
Tambahnya, rentak dan melodi utama datang hampir serta-merta ketika sesi studio pertamanya bersama MFMF.
“Sebaik sahaja saya dengar beat, hook terus datang. Banyak lirik juga datang terus dari hati saya. Ia pengalaman yang organik dan sangat menyeronokkan,” jelasnya.
Video muzik rasmi Tenggelam, yang telah dilancarkan di YouTube pada 19 Jun lalu menampilkan pendekatan berbeza dan lebih kepada penceritaan mood dan ekspresi, berbanding jalan cerita tradisional.
“MV ini bukan naratif, tapi vibe. Kami mula penggambaran seawal 4 pagi dan ruang improvisasi itu beri banyak ilham spontan. Saya sukakan mood Y2K yang kami bawa,” kongsinya.
Lagu ini juga menjadi titik temu bermakna apabila Ismail kembali bekerjasama dengan dua individu penting sejak awal kariernya iiatu bersama, Ghazi Maslan dan Lily.
Meskipun tampil dengan karya penuh rasa, Ismail tetap merendah diri dan berharap lagu ini diterima sebagai langkah baru ke arah pengukuhan identitinya sebagai pemuzik.
“Saya harap orang dapat rasa vibe lagu ini. Saya nak mereka kenal saya bukan hanya sebagai penyanyi, tapi juga sebagai pemuzik dan penghibur yang boleh beri kesan.
“Moga Tenggelam jadi permulaan kepada lebih banyak karya selepas ini,” ujarnya.