Ismail yakin Jun Hao mampu beri impak positif

Ismail yakin Jun Hao mampu beri impak positif

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara, Ismail Saman yakin pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao mampu mencetuskan impak positif dalam saingan Piala Thomas kerana dia beraksi cukup baik dalam acara berpasukan.

Jelasnya, Jun Hao mempunyai semangat berpasukan sangat baik sebelum ini dan beliau yakin pemain ranking ke-25 dunia itu mampu membantu pasukan negara pada edisi kali ini.

Justeru, beliau menegaskan cabaran sebenar terletak pada barisan perseorangan yang perlu tampil lebih konsisten bagi memastikan mata penting dapat diraih.

“Bagi saya, untuk berpasukan, saya lebih gemar kepada Jun Hao. Kalau kita tengok prestasi dia, memang lebih menyerlah apabila bermain dalam pasukan berbanding individu.

“Selain itu, Lee Zii Jia turut menjadi sandaran utama. Dia pemain berpengalaman, status selaku pemenang pingat gangsa Olimpik itu akan membantu pasukan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Ismail berharap Jun Hao dan Zii Jia dapat memikul tanggungjawab besar untuk menyumbang mata dalam setiap perlawanan.

“Apapun, kita kena pastikan Jun Hao dan Zii Jia dapat kutip mata. Itu sangat penting untuk pasukan,” katanya.

Mengulas perseorangan kedua, Ismail berpendapat pemain muda seperti Justin Hoh masih memerlukan masa untuk mencapai tahap lebih kompetitif.

“Dari segi standard permainan, Justin belum sampai lagi untuk menewaskan pemain senior yang lebih berpengalaman.

“Berdasarkan ranking semasa, Malaysia tidak perlu terlalu gusar dengan prestasi beregu walaupun aksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) sebelum ini kurang memberangsangkan.

“Kalau tengok prestasi beregu, kita masih ada kekuatan di ketiga-tiga pasangan. Itu bukan isu besar untuk pasukan,” katanya.

Selain tiga pemain itu, Aidil Sholeh Ali Sadikin menjadi sebahagian daripada pemain perseorangan lelaki pada edisi kali ini.

Skuad Piala Thomas negara diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland dan menjadi pilihan bersama Jepun untuk ke pusingan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top