mahaizura@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: “Saya syak anak saya dicekup dan dilarikan orang kerana saya langsung tidak mendengar bunyi tapak kasutnya,” kata Ismanira Abdul Manaf.
Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin yang juga saksi pembelaan pertama memberi keterangan itu ketika pemeriksaan balas Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Ismanira, 30, mendakwa dia menyedari anaknya hilang selepas tidak lagi mendengar bunyi tapak kasut kanak-kanak itu ketika berada pada separuh tangga tingkat satu di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Katanya, dia tidak mendengar bunyi tapak kasut individu berlari namun mengesyaki Zayn Rayyan dicekup dan dilarikan pada hari kehilangan kanak-kanak itu pada 5 Disember 2023.
“Saya menggunakan deria pendengaran saya untuk mengawasi (keberadaan Zayn) dan ada kalanya saya toleh (ke belakang melihat Zayn).
“Kadangkala dia akan berlari di depan saya dan kadangkala di belakang saya namun, dia sentiasa di bawah pengawasan saya.
“Saya kenal anak saya. Zayn bijak walaupun autisme, dia kenal rumah dan ingat jalan untuk menuju ke tempat biasa dia pergi contohnya rumah atok dan nenek, jalan ke sekolah dan kedai,” katanya.
Semalam, Hakim Dr Syahliza Warnoh memerintahkan, Ismanira membela diri atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ismanira.
Sementara itu, suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes pendakwaan terhadapnya.
Susulan itu, pihak pembelaan mengemukakan lima saksi pembelaan termasuk Ismanira dalam prosiding bela diri yang dijangka berlangsung empat hari bermula semalam.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan,6, (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.
Perbicaraan bela diri bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd