Ismanira tidak abai Zayn Rayyan -Bapa mentua

Ismanira tidak abai Zayn Rayyan -Bapa mentua

PETALING JAYA: Datuk kepada Zayn Rayyan Abdul Matin menyifatkan menantu dan anak lelakinya adalah ibu bapa yang bertanggungjawab dan tidak pernah mengabaikan kanak-kanak autisme itu.

Saksi pembelaan kedua, Zahari Mohd. Reba, 57, juga tidak percaya bahawa anaknya Zaim Ikhwan dan menantunya, Ismanira Abdul Manaf membunuh cucu sulungnya itu.

 “Arwah Zayn cucu kesayangan saya. Setiap Sabtu dan Ahad sekiranya mak dan ayah arwah tidak bekerja, saya akan pastikan mereka datang ke rumah dan bermesra. 

“Saya tidak percaya berkaitan pengabaian yang didakwa polis. Saya kecewa (dengan dakwaan polis) kerana kedua-dua ibu bapa Zayn adalah ibu bapa yang bertanggungjawab dan sangat menyayangi Zayn. 

“Saya juga percaya kepada kedua-dua anak dan menantu saya tidak terlibat untuk membunuh arwah Zayn,” katanya.

Selain itu, Zahari yang bekerja sebagai pengurus pengeluaran turut memberitahu Zayn Rayyan akrab dan baik dengannya.

“Hubungan antara arwah dengan ibu bapa (juga) sangat akrab,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela, Haresh Mahadevan.

Ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Zahari mendedahkan, pasangan suami isteri itu sentiasa bersikap adil dalam memberikan kasih sayang dan layanan terhadap Zayn Rayyan dan adiknya.

Raja Zaizul: Hubungan Zayn dan ibu bapanya rapat?

Zahari: Betul.

Raja Zaizul: Kenapa Encik Zahari cakap begitu ya?

Zahari: Sebab Zayn ini adalah seorang autisme jadi perhatian daripada kedua ibu bapanya amat teliti terhadap Zayn.

Raja Zaizul: Tetapi dia ada adik juga, Mateen kan?

Zahari: Ya, betul.

Raja Zaizul: Adakah encik katakan layanan (terhadap Zayn) lebih daripada adik dia?

Zahari: Bagi saya sama saja.

Raja Zaizul: Boleh setuju dengan saya, layanan yang encik nampak dilakukan Isma dan Zaim terhadap Zayn apabila di depan mata encik saja. Setuju?

Zahari: Setuju.

Zahari memberi keterangan tersebut pada prosiding bela diri Ismanira yang memasuki hari ketiga.

Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.

Pasangan itu sebelum ini bersama-sama didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok. – UTUSAN

Scroll to Top