TEH HAGUE: Israel mempunyai hak untuk melancarkan serangan berskala penuh di Rafah, selatan Gaza sebagai langkah mempertahankan diri daripada kumpulan pejuang Hamas.
Perkara itu dibangkitkan oleh peguam Israel, Gilad Noam kepada Mahkamah Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lapor Al Jazeera.
Kenyataan angkuh itu selepas Afrika Selatan memfailkan tuntutan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya Israel melakukan gencatan senjata segera.
“Faktanya jelas bandar Rafah merupakan lokasi kukuh ketenteraan Hamas yang menimbulkan ancaman terhadap Israel dan rakyatnya,” kata Noam yang merupakan Timbalan Peguam Negara, Undang-Undang Antarabangsa Israel.
Noam menuduh Afrika Selatan ‘membuat tuduhan keji tentang pembunuhan beramai-ramai’,’menggunakan strategi mengheret Israel ke mahkamah tanpa henti’ dan ‘mempunyai motif tersembunyi’ untuk mendesak pengunduran Israel dari Rafah.
Sesi perbicaraan itu disifatkan sebagai ‘luar biasa’ apabila Hakim Jerman meminta Israel mengemukakan jawapan bertulis mengenai maklumat situasi kemanusiaan di ‘zon pemindahan’ yang diisytiharkan di Gaza pada hari berikutnya.
Suasana bertambah dramatik apabila seorang wanita yang duduk di galeri awam menjerit ‘pembohong, penipu’ terhadap barisan peguam Israel.
Afrika Selatan menegaskan ini adalah peluang terakhir untuk mahkamah menyelamatkan nyawa penduduk di Rafah dan Gaza.
Khamis lalu, Afrika Selatan memohon ICJ menetapkan tiga perintah kecemasan iaitu langkah sementara tambahan terhadap Israel.
Pertama, menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera.
Kedua, Israel perlu mengambil semua langkah berkesan untuk membenarkan akses tanpa halangan ke Gaza untuk pekerja bantuan kemanusiaan serta wartawan dan penyiasat.
Akhir sekali, meminta mahkamah agar Israel melaporkan kembali langkah-langkah yang diambil untuk mematuhi perintah itu.




