JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan kesediaannya untuk terbang ke Teheran bagi memainkan peranan sebagai pengantara dalam usaha meredakan ketegangan susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Kenyataan itu dikeluarkan kerajaan Indonesia selepas operasi ketenteraan besar-besaran dilancarkan terhadap Teheran pada Sabtu pagi waktu tempatan.
Presiden AS, Donald Trump mengesahkan bahawa Washington sedang menjalankan ‘operasi besar dan berterusan’ bagi memusnahkan infrastruktur nuklear Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut mengumumkan tenteranya bekerjasama dengan AS dalam kempen tersebut.
Dalam kenyataan rasmi, kementerian berkaitan memaklumkan bahawa kerajaan Indonesia melalui Presidennya menyatakan kesediaan untuk memudah cara dialog agar keadaan keselamatan kembali stabil.
“Kerajaan Indonesia dalam hal ini Presiden menyatakan kesediaan untuk memfasilitasi dialog supaya situasi keselamatan kembali kondusif. Jika diterima kedua-dua pihak, Presiden bersedia ke Teheran bagi tujuan mediasi,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada inisiatif tersebut memerlukan persetujuan semua pihak terlibat termasuk Israel atau sekadar persetujuan Iran dan AS.
Indonesia dalam kenyataannya turut melahirkan rasa kesal terhadap kegagalan rundingan AS-Iran yang sebelum ini berlangsung di Geneva.
Rundingan berprofil tinggi berkaitan program nuklear Iran itu gagal mencapai persetujuan, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan ketenteraan di Asia Barat.
“Indonesia amat kesal terhadap kegagalan rundingan AS-Iran yang telah membawa kepada eskalasi ketenteraan di Asia Barat,” menurut kenyataan tersebut tanpa menyebut secara langsung mengenai kemudahan nuklear yang menjadi sasaran serangan.
Sebagai ekonomi terbesar Asia Tenggara, Indonesia menyeru semua pihak agar menahan diri dan mengutamakan dialog serta menekankan kepentingan menyelesaikan perbezaan melalui cara aman.
Jakarta menegaskan bahawa konflik bersenjata hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan serantau dan memberi kesan terhadap keselamatan global.
Langkah menawarkan diri sebagai pengantara bukan perkara baharu bagi Indonesia. Sebelum ini, bekas Presiden Joko Widodo atau Jokowi pernah mengadakan lawatan ke Rusia dan Ukraine pada pertengahan 2022 dalam usaha meredakan konflik yang memuncak ketika itu.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Indonesia turut menggesa ratusan rakyatnya yang kini berada di Iran supaya kekal tenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan. Kedutaan Indonesia juga dilaporkan memantau rapat situasi keselamatan bagi memastikan keselamatan warganya terjamin.
Penganalisis melihat langkah Prabowo sebagai usaha memperkukuh peranan Indonesia di pentas antarabangsa sebagai negara berkecuali yang mengutamakan diplomasi dan penyelesaian aman.
Ketika ketegangan antara Iran, Israel dan AS terus meningkat, inisiatif mediasi dari Jakarta dilihat sebagai satu lagi usaha diplomatik untuk mengelakkan konflik lebih besar di rantau yang menjadi nadi penting bekalan tenaga dunia itu.
Ringkasan AI
- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersedia menjadi pengantara untuk meredakan ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran
- Operasi ketenteraan besar-besaran AS dan Israel dilancarkan terhadap Iran
- Indonesia menawarkan untuk memfasilitasi dialog bagi mencapai kestabilan keselamatan
- Indonesia menyatakan kesal terhadap gagalnya rundingan AS-Iran yang sebelumnya berlangsung di Geneva
- Langkah mediasi ini mencerminkan peranan Indonesia sebagai negara berkecuali yang mengutamakan diplomasi



