Baitulmaqdis: Pihak berkuasa Israel membatalkan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa susulan ketegangan memuncak selepas Iran melancarkan serangan balas ke atas Israel dan rantau itu.
Keputusan itu adalah sekatan terbaharu Israel sejak bermula Ramadan.
Ketua Pentadbiran Awam, Brigadier Jeneral Hisham Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel dan seluruh rantau itu.
“Semua lokasi suci di Kota Lama Baitulmaqdis, termasuk Tembok Barat dan Gereja Holy Sepulchre akan ditutup kepada semua penganut atas faktor keselamatan,” katanya.
Serangan balas Iran menyebabkan sekurang-kurangnya 12 kematian di Israel, manakala serangan Israel – AS pula meragut lebih 1,230 nyawa di Iran.
Sejak perang AS-Israel dengan Iran bermula, hanya penduduk dan pemilik kedai dibenarkan memasuki Kota Lama Baitulmaqdis.
Imam kanan Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ikrima Sabri, mengecam tindakan Israel itu.
“Pihak berkuasa itu mengambil kesempatan untuk menutup Masjid Al-Aqsa pada bila-bila masa dan ini sama sekali tidak wajar,” katanya.
Bulan lalu, Israek mengehadkan jumlah penduduk Palestin di Tebing Barat dibenarkan masuk ke kawasan masjid itu untuk solat Jumaat pada Ramadan.
Penduduk bimbang pencerobohan Israel ke atas masjid berkenaan semakin meningkat selepas ini.
Kompleks Masjid Al-Aqsa diuruskan oleh Jordan, tetapi aksesnya dikawal oleh pasukan keselamatan Israel.
© New Straits Times Press (M) Bhd



