Gaza: Serangan Israel pada Khamis di selatan Semenanjung Gaza membunuh ketua lintasan Kerem Shalom dan tiga yang lain, kata pihak berkuasa Hamas.
Pengarah lintasan itu, Bassem Ghaben, terbunuh ketika pesawat Israel menyasarkan infrastruktur, kata pihak berkuasa lintasan dan kementerian kesihatan di Gaza.
Tentera Israel dan COGAT, badan kementerian pertahanan yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin, tidak segera menjawab permintaan AFP untuk mendapatkan komen.
Israel pada Jumaat meluluskan penghantaran sementara bantuan ke Gaza melalui lintasan Kerem Shalom, membuka laluan baharu untuk bekalan, selepas trak bantuan sebelum ini hanya dibenarkan masuk melalui lintasan Rafah.
Jurucakap setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric berkata, “serangan dron” terbaru menghalang operasi bantuan, dengan agensi PBB bagi pelarian Palestin, UNRWA, “tidak dapat menerima (bantuan) trak” melalui Kerem Shalom.
“Kami difahamkan sebilangan rakyat Palestin yang bekerja di lintasan itu terbunuh dan sebilangan rakan sekerja UNRWA berada di sana tidak lama sebelum itu dan (mereka) juga mungkin (menjadi mangsa),” kata Dujarric.
Program Makanan Sedunia, tambahnya, terpaksa menggantung sementara operasinya di lintasan selepas serangan berkenaan.
Jurucakap PBB berkata, “sistem PBB secara keseluruhan tertumpu pada usaha untuk mendapatkan bantuan sebanyak mungkin, secepat mungkin.”
Awal minggu ini, pegawai PBB Tor Wennesland berkata, langkah “terhad” Israel untuk membenarkan bantuan ke Gaza adalah “positif, tetapi jauh dari apa yang diperlukan untuk menangani malapetaka manusia di lapangan.”
PBB menganggarkan 1.9 juta daripada 2.4 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan kebimbangan semakin meningkat mengenai keupayaan terhad kumpulan bantuan untuk menyalurkan bantuan.
Pejabat media Kerajaan Hamas pada Rabu berkata, serangan sudah membunuh sekurang-kurangnya 20,000 orang di wilayah Palestin, termasuk kira-kira 8,000 kanak-kanak dan 6,200 wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd
