Israel dakwa Iran lancar 300 peluru berpandu, bawa bom berangkai

Israel dakwa Iran lancar 300 peluru berpandu, bawa bom berangkai
Israel dakwa Iran lancar 300 peluru berpandu, bawa bom berangkai

Iran turut menggunakan bom berangkai bagi menyerang Israel.-Agensi

BAITULMAQDIS – Tentera Israel mendakwa Iran telah melancarkan kira-kira 300 peluru berpandu balistik ke arah negara itu sepanjang konflik semasa, dengan hampir separuh daripadanya membawa kepala peledak bom berangkai.

Menurut penilaian Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang diterbitkan pada Selasa, senjata berkenaan menyebarkan puluhan bom berangkai secara rawak dalam radius kira-kira 10 kilometer, sekali gus menyukarkan usaha sistem pertahanan udara untuk memintasnya.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas serpihan bom berkenaan dilaporkan membunuh dua orang dan mencederakan seorang lagi di tengah Israel.

Pada Selasa, Iran dilaporkan terus melancarkan peluru berpandu ke arah Israel.

Kebanyakannya berjaya dipintas sistem pertahanan udara, namun satu peluru berpandu yang membawa kepala peledak besar meletup di kawasan terbuka berhampiran Beit Shemesh, dekat Baitulmaqdis. Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

Pegawai tentera Israel berkata, walaupun usaha pemintasan berjaya dilaksanakan, ancaman daripada peluru berpandu jenis berkenaan tetap mencabar kerana sistem pertahanan udara tidak mampu memberikan perlindungan sepenuhnya.

Bom berangkai dilarang penggunaannya di bawah Konvensyen Bom Berangkai 2008 yang ditandatangani lebih 100 negara, termasuk kebanyakan negara Eropah dan Afrika serta United Kingdom, Australia dan Kanada.

Bagaimanapun, Israel, Iran dan Amerika Syarikat bukan antara negara yang menyertai perjanjian tersebut.

Konflik semasa bermula pada 28 Februari apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan kempen pengeboman ke atas Iran dengan tujuan menggulingkan kepimpinan ulama negara itu serta memusnahkan program nuklear dan peluru berpandunya.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke seluruh rantau termasuk ke arah Israel. Menurut pihak berkuasa kesihatan Israel, serangan Iran setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan lebih 2,000 yang lain.-Agensi

Ringkasan AI

  • Tentera Israel mendakwa Iran melancarkan sekitar 300 peluru berpandu balistik ke arahnya
  • Hampir separuh peluru berpandu membawa kepala peledak bom berangkai
  • Sistem pertahanan udara Israel susah untuk memintas peluru berpandu kerana bom berangkai
  • Serangan peluru berpandu Iran sebelumnya telah membunuh dua orang dan mencederakan seorang lagi di tengah Israel
  • Konflik semasa bermula apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan kempen pengeboman ke atas Iran
Scroll to Top