Baitulmaqdis: Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata, negara itu secara efektif ‘sudah memenangi’ perang dengan Iran, tetapi tidak menyatakan bila konflik mungkin berakhir.
Beliau menegaskan, operasi Israel akan diteruskan sehingga semua objektif tercapai, termasuk menghapuskan ‘ancaman kewujudan’ dari Iran.
Saar berkata, matlamat Israel adalah melemahkan kemampuan Iran menyerang Israel dalam jangka panjang dan mewujudkan keadaan untuk potensi rakyat Iran menumbangkan pemerintah mereka sendiri.
Namun, Saar mengakui bahawa kerajaan Iran hanya boleh digulingkan oleh rakyatnya.
“Iran kini ‘amat lemah’ berbanding sebelum perang bermula pada 28 Februari, tetapi operasi akan diteruskan sehingga misi selesai,” katanya.
Difahamkan, walaupun Saar mendakwa kemenangan, Iran terus melancarkan peluru berpandu jarak jauh ke atas Israel, menunjukkan kemampuan Tehran masih wujud walaupun selepas dua minggu peperangan.
Perang sudah memasuki hari ke-18 dan mengorbankan lebih 2,000 orang, kebanyakannya di Iran dan Lubnan serta turut membabitkan Israel, Iraq dan negara Teluk lain.
Tentera Israel melaksanakan serangan udara ke atas pelancar misil balistik Iran dan kemudahan penyimpanan, pengeluaran, tapak nuklear serta pasukan keselamatan.
Dalam pada itu, pentadbiran AS memberikan, isyarat bercampur mengenai tempoh konflik, manakala tentera Israel merancang operasi untuk tiga minggu akan datang dan seterusnya.
Perang AS-Israel dengan Iran mencetuskan kekacauan di rantau ini dengan Israel bertempur dengan Hizbullah di Lubnan dan Iran menyerang negara Arab Teluk.
Selat Hormuz, laluan 20 peratus minyak dunia dan gas asli cecair, secara efektif ditutup oleh Iran, menyebabkan harga tenaga naik dan kebimbangan inflasi meningkat.
Bagaimanapun, beberapa sekutu AS menolak panggilan untuk menghantar kapal perang mengiringi kapal tangki dengan sesetengah mengkritik Washington dan Israel kerana tidak berunding sebelum perang.
Menteri Luar Estonia, Margus Tsahkna pula berkata, negaranya terbuka menyertai misi AS membuka laluan strategik, tetapi Washington perlu jelaskan objektif dan sokongan yang dicari terlebih dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



