Israel dakwa temui jenazah pemimpin Hamas

Israel dakwa temui jenazah pemimpin Hamas
Mohammed Sinwar, - Agensi

Mohammed Sinwar, – Agensi

BAITULMAQDIS – Tentera Israel pada Ahad mengesahkan mereka telah menemui dan mengenal pasti jenazah Mohammed Sinwar, pemimpin Hamas di Genting Gaza, tiga minggu selepas beliau dikatakan terbunuh dalam satu serangan udara.

“Dalam operasi khas oleh IDF… dan selepas proses pengecaman selesai, kini disahkan bahawa jenazah Mohammed Sinwar ditemui di laluan terowong bawah tanah di bawah Hospital Eropah di Khan Yunis,” menurut kenyataan tentera.

Menurut tentera lagi, Sinwar ‘dilumpuhkan’ bersama beberapa anggota Hamas lain pada 13 Mei lalu.

Hasil pencarian di terowong itu menemukan beberapa barangan milik Mohammed serta bahan risikan lain yang kini dalam siasatan lanjut.

Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Effie Defrin memberitahu wartawan yang dibawa ke lokasi bahawa jenazah Mohammed ditemui di bawah hospital, betul-betul di bawah bilik kecemasan, dalam satu kawasan yang terdiri daripada beberapa bilik.

Tambahnya, pengecaman jenazah dilakukan melalui ujian DNA dan kaedah lain.

Pada 28 Mei lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan Mohammed terbunuh dalam operasi ketenteraan dan menyatakan beliau merupakan adik kepada bekas ketua Hamas, Yahya Sinwar, yang turut terbunuh dalam perang di Gaza.

“Pasukan kita mengusir pengganas dari wilayah kita, masuk ke Genting Gaza dengan kekuatan, dan menghapuskan puluhan ribu pengganas, termasuk… Mohammed Sinwar,” kata Netanyahu dalam ucapan di Parlimen Israel.

Yahya Sinwar yang didakwa sebagai dalang serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, terbunuh pada Oktober 2024.

Penganalisis percaya, Mohammed mengambil alih kepimpinan sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, selepas kematian pemimpinnya, Mohammed Deif.

Beliau dipercayai memainkan peranan penting dalam rundingan tidak langsung dengan Israel, isu tahanan dan pengurusan ketenteraan Hamas. – AFP

Scroll to Top