
Asap tebal kelihatan selepas serangan udara Israel ke atas ibu negara Yemen yang dikuasai puak Houthi pada 24 Ogos lalu.-AFP
SANAA – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam serangan udara Israel di ibu negara Yemen, Sanaa pada Ahad, menurut kumpulan Huthi.
Imej yang dirakam AFP menunjukkan bola api besar menerangi ruang udara bandar dikuasai kumpulan itu sebelum meninggalkan kepulan asap hitam tebal.
Agensi berita Saba yang dikendalikan Huthi melaporkan enam mangsa terbunuh manakala 86 cedera, termasuk lebih 20 orang dalam keadaan kritikal. Kementerian Kesihatan yang dikuasai Huthi dipetik sebagai sumber.
Menurut sumber keselamatan Huthi, serangan itu menyasarkan sebuah bangunan di pusat Sanaa. Saluran televisyen Al-Masirah melaporkan serangan turut mengenai fasiliti sebuah syarikat minyak dan stesen janakuasa di selatan bandar yang sebelum ini juga pernah diserang minggu lalu.
Tentera Israel pula mendakwa mereka mengebom kompleks tentera di kawasan Istana Presiden, selain dua stesen janakuasa dan sebuah depot minyak.
“Serangan ini sebagai tindak balas terhadap siri serangan Huthi ke atas Israel dan orang awamnya, termasuk yang berlaku sejak beberapa hari lalu,” menurut kenyataan tentera Israel.
Pada Jumaat lalu, pihak berkuasa Israel memaklumkan sebuah peluru berpandu dilancarkan Huthi dipercayai terlerai di udara. Media tempatan melaporkan senjata itu membawa kepala peledak kluster, dipercayai pertama kali digunakan dari wilayah Yemen.
Kementerian Pertahanan Israel pada Ahad turut menyiarkan gambar Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bersama Menteri Pertahanan Israel Katz dan Ketua Tentera Eyal Zamir yang dilihat memantau serangan dari sebuah bunker kawalan.
Dalam kenyataan berasingan, Biro Politik Huthi menegaskan pihaknya akan bertindak balas dan tidak akan mengundur daripada perjuangan menentang Israel serta sekutunya, Amerika Syarikat, selagi pencerobohan tidak dihentikan dan sekatan Israel ke atas Gaza tidak ditarik balik.
Kementerian Luar Iran turut mengecam keras serangan udara Israel itu.-AFP