
Pesawat pejuang Israel setakat ini telah melancarkan sekurang-kurangnya lima serangan udara yang menyasarkan kawasan Al-Jamous dan Haret Hreik berhampiran Hospital Al-Sahel. Foto Agensi
ISTANBUL – Tentera Israel melancarkan serangan udara baharu pada lewat Khamis di kawasan pinggir bandar selatan Beirut selepas memberi amaran kepada ribuan penduduk supaya berpindah dari kawasan terlibat, lapor Anadolu Ajansı (AA) memetik agensi berita nasional Lubnan, NNA.
Pesawat pejuang Israel setakat ini telah melancarkan sekurang-kurangnya lima serangan udara yang menyasarkan kawasan Al-Jamous dan Haret Hreik berhampiran Hospital Al-Sahel.
Terdahulu pada Khamis, tentera Israel mengarahkan penduduk di pinggir selatan Beirut supaya meninggalkan kediaman mereka dengan kadar segera sebelum serangan udara dimulakan.
Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, secara khusus menggesa penduduk di kawasan kejiranan Burj al-Barajneh dan Hadath supaya menuju ke timur ke arah Gunung Lubnan melalui Jalan Beirut-Damsyik.
Manakala penduduk di Haret Hreik dan Shiyah diarah berpindah ke utara menuju Tripoli melalui Lebuh Raya Beirut-Tripoli atau ke timur ke arah Gunung Lubnan melalui Lebuh Raya Metn.
Tentera Israel telah melancarkan siri serangan udara di seluruh Lubnan sejak Isnin, mengorbankan lebih 120 orang dan mencederakan hampir 700 yang lain susulan serangan merentas sempadan oleh Hizbullah.
Peningkatan konflik itu berlaku ekoran serangan Israel-AS ke atas Iran yang telah mengorbankan lebih 900 orang sejak Sabtu, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai-pegawai kanan tentera.
Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset milik AS.
Israel telah berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan yang ditandatangani pada November 2024, dengan melancarkan serangan hampir setiap hari yang mengakibatkan ratusan kematian dan kecederaan.
Israel memulakan serangannya terhadap Lubnan pada Oktober 2023 dan meningkatkan konflik itu kepada perang berskala penuh pada September 2024, mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan kira-kira 17,000 yang lain. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Tentera Israel melancarkan serangan udara baharu di pinggir bandar selatan Beirut dan mengarahkan penduduk berpindah
- Pesawat pejuang Israel telah melancarkan sekurang-kurangnya lima serangan udara
- Jurucakap tentera, Avichay Adraee, mengarahkan penduduk di beberapa kawasan supaya berpindah ke arah tertentu
- Serangan udara Israel di seluruh Lubnan sejak Isnin mengakibatkan lebih 120 orang terkorban dan hampir 700 cedera
- Konflik meningkat susulan serangan Israel-AS ke atas Iran, mengorbankan lebih 900 orang termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei


