
Undang-undang berat sebelah yang menyasarkan penduduk Palestin akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari.
TEL AVIV – Parlimen (Knesset) Israel pada Isnin meluluskan undang-undang diskriminasi yang mengenakan hukuman mati ke atas penduduk Palestin.
Rang undang-undang kontroversi itu menerima 62 sokongan termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu manakala 48 menolak.
Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir mendesak pelaksanaan undang-undang tersebut sebagai salah satu syarat utama perjanjian kerajaan gabungan bersama parti pimpinannya, Otzma Yehudit.
Ia secara terang-terangan memberi kuasa kepada Zionis untuk membunuh lebih ramai penduduk Palestin yang berdepan penindasan selama beberapa dekad.
Undang-undang berat sebelah yang akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari itu memberi lampu hijau kepada mahkamah tentera untuk menjatuhkan hukuman kejam ke atas penduduk Palestin yang berdepan tuduhan melakukan keganasan ke atas puak Yahudi atau askar mereka.
Ia bagaimanapun mengecualikan hukuman ke atas pelampau Yahudi yang didakwa membunuh penduduk Palestin.
Pihak Berkuasa Palestin (PA) dalam satu kenyataan mengutuk undang-undang itu yang disifatkan sebagai satu bentuk jenayah perang terhadap penduduk Palestin selain melanggar Konvensyen Geneva Keempat yang menjamin perbicaraan adil. – Agensi
Ringkasan AI
- Parlimen Israel meluluskan undang-undang hukuman mati ke atas penduduk Palestin.
- Undang-undang ini mendapat 62 sokongan termasuk dari Perdana Menteri Netanyahu.
- Pelaksanaan undang-undang ini adalah syarat utama perjanjian kerajaan gabungan.
- Undang-undang ini membenarkan mahkamah tentera menjatuhkan hukuman kejam pada Palestin.
- Pihak Berkuasa Palestin mengutuk undang-undang ini sebagai jenayah perang dan langgar Konvensyen Geneva.



