TEL AVIV – Parlimen Israel, Knesset pada Isnin malam meluluskan dalam bacaan kali kedua dan ketiga satu undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Undang-undang itu diluluskan dengan 62 anggota mengundi menyokong, 48 menentang dan seorang berkecuali.
Rang undang-undang itu diusulkan oleh anggota Knesset Limor Son Har-Melech dan diperjuangkan oleh Menteri Keselamatan Israel berhaluan kanan Itamar Ben-Gvir.
Minggu lepas, Jawatankuasa Keselamatan Negara Knesset meluluskan draf perundangan berkenaan yang menetapkan hukuman mati terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan sehingga menyebabkan kematian warga Israel, sebelum ia dibawa ke dewan untuk kelulusan muktamad.
Semasa perbahasan, jawatankuasa itu menolak lebih 2,000 bantahan yang dikemukakan terhadap rang undang-undang berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan Knesset, dalam langkah yang mencerminkan proses perundangan yang dipercepatkan meskipun terdapat kontroversi meluas berkaitan langkah itu.
Di bawah undang-undang baharu itu, hukuman mati akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang “dengan sengaja menyebabkan kematian seseorang dalam rangka kerja tindakan yang diklasifikasikan sebagai keganasan.”
Perundangan itu turut menetapkan bahawa tiada pengampunan boleh diberikan dalam kes sedemikian, sekali gus menghalang sebarang campur tangan politik atau perundangan pada masa hadapan untuk meringankan atau mengubah hukuman berkenaan.
Undang-undang itu memperkenalkan hukuman mati mandatori tanpa memerlukan kelulusan sebulat suara badan kehakiman. Hukuman gantung sampai mati akan dilaksanakan oleh Perkhidmatan Penjara Israel dalam tempoh ditetapkan yang tidak melebihi 90 hari selepas pengesahan hukuman.
Perundangan itu turut membezakan pelaksanaannya antara dalam Israel dan di Tebing Barat yang diduduki.
Di Tebing Barat, hukuman mati akan menjadi hukuman utama, manakala mahkamah tentera hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dalam “keadaan khas.”
Undang-undang itu juga memberi kuasa kepada Menteri Keselamatan untuk menentukan badan kehakiman yang bertanggungjawab mendakwa suspek.
Ia turut membenarkan Perdana Menteri memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dalam “keadaan khas,” namun tempoh penangguhan keseluruhan tidak boleh melebihi 180 hari walaupun undang-undang menetapkan hukuman mesti dilaksanakan dalam tempoh 90 hari selepas keputusan dijatuhkan.
Menurut statistik Persatuan Tahanan Palestin, kira-kira 9,500 rakyat Palestin dan tahanan Arab kini ditahan di penjara Israel.
Bilangan tahanan yang jenazah mereka ditahan oleh Israel meningkat kepada 97 orang, termasuk 86 sejak serangan Israel di Semenanjung Gaza, manakala jumlah keseluruhan tahanan Palestin yang meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak 1967 meningkat kepada 326 orang.
Hukuman mati amat jarang dilaksanakan dalam sejarah kehakiman Israel dan hanya pernah dilaksanakan sekali, pada 1962, terhadap pegawai Nazi Adolf Eichmann.
Empat negara Eropah — United Kingdom, Jerman, Perancis dan Itali — sebelum ini menggesa Israel supaya membatalkan perundangan itu, dengan menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kesannya serta menegaskan bahawa hukuman mati merupakan bentuk hukuman “tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah” yang tidak berfungsi sebagai pencegahan.
Amnesty International turut memberi amaran bahawa undang-undang itu boleh mengukuhkan lagi sistem aparteid dan meletakkan Israel berdepan secara langsung dengan gerakan global untuk menghapuskan hukuman mati, sambil menambah bahawa pelaksanaannya boleh dianggap sebagai jenayah perang. – Bernama
Ringkasan AI
- Parlimen Israel luluskan undang-undang hukuman mati bagi tahanan Palestin.
- Undang-undang diperjuangkan oleh Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir.
- Jumlah 62 anggota Knesset menyokong undang-undang dengan 48 menentang.
- Tiada pengampunan boleh diberikan di bawah undang-undang ini.
- Pengecualian hanya boleh diberikan oleh Perdana Menteri dalam keadaan khas dalam tempoh 180 hari.



