GENTING GAZA – Rancangan Israel mahu memperluaskan lagi kempen pengeboman ke atas Genting Gaza yang sudah binasa sepenuhnya dek perang genosid sejak 19 bulan lalu menggusarkan kebanyakan penduduk Palestin.
Malapetaka kemanusiaan di wilayah itu semakin meruncing selepas penghantaran bantuan disekat sejak 2 Mac lalu setelah perjanjian gencatan senjata fasa pertama berakhir.
Bagi Aya, 30, yang terperangkap di bahagian selatan dan kembali ke tengah Gaza ketika tempoh bertenang berkuat kuasa, pengumuman Tel Aviv pada Isnin lalu adalah satu khabar duka buat mereka.
“Adakah kami akan terkorban pada kali ini atau terpaksa berpindah-randah lagi tanpa arah tuju? Adakah Israel cuba mengurung kami di Rafah?” ujarnya merujuk kawasan bersempadan Mesir yang dijadikan ‘zon kemanusiaan baharu’ oleh Tel Aviv.
Mohammed al-Seikaly yang menghadiri urusan pengebumian korban kekejaman terbaharu Zionis di Bandar Gaza pula berpendapat sukar untuk memahami muslihat sebenar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang mahu melancarkan serangan berskala besar itu.

Penduduk Palestin bergelut dengan kelaparan selepas makanan dijadikan senjata perang oleh Zionis.
“Tiada lagi kawasan di Gaza yang tidak terhindar daripada hujan bom, namun Zionis masih mengancam kami. Saya mahu bertanya kepada masyarakat dunia, apa lagi yang mahu dibom Israel kerana tiada apa lagi yang tinggal,” tegasnya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi bayangan pelan ‘menakluk’ Gaza itu adalah lebih agresif di samping rancangan mengusir penduduk Palestin.
Sumber Tel Aviv mendedahkan operasi ketenteraan baharu itu juga akan mengawal agihan bantuan kononnya bagi menghalang ia sampai ke tangan Hamas.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bagaimanapun menolak idea tersebut kerana ia jelas bertentangan dengan apa yang diperlukan agensi bantuan untuk meringankan penderitaan penduduk Gaza.
Tamer di Khan Yunis berkata, dia bimbang jika Israel melaksanakan sistem pengasingan untuk menentukan siapa yang boleh mendapat makanan atau dibenarkan berpindah.
“Adakah mereka akan menahan atau membunuh sesuka hati sebelum membenarkan kami memasuki kawasan yang telah ditetapkan,” katanya.
Pelan pindah penduduk Gaza
Kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza kini bergelut dengan krisis kekurangan makanan dan majoriti daripada mereka hanya makan sekali sehari.
“Tepung sudah sukar diperoleh, seguni tepung boleh mencecah harga yang sangat tinggi berbanding 25 shekel (RM31) ketika sebelum perang tercetus.
“Israel sengaja membiarkan kami kelaparan supaya kami tunduk dengan segala arahan mereka. Kami mahu peperangan ini berakhir. “Biarkan mereka bawa pulang baki tawanan. Akur sahaja tuntutan itu,” rayu Aya.
Kebanyakan penduduk kini terpaksa memakan rumput liar atau daun manakala nelayan menangkap penyu sebagai sumber pendapatan serta makanan.
Hamas dalam satu kenyataan turut menyelar Israel kerana sengaja melengah-lengahkan proses damai selain menggunakan makanan sebagai senjata perang ke atas penduduk Gaza.
“Tidak ada gunanya terlibat dalam rundingan atau mempertimbangkan tempoh bertenang baharu selagi perang kelaparan dan pemusnahan berterusan.
“Komuniti antarabangsa perlu memberi tekanan kepada Netanyahu untuk menghentikan kekejaman mereka,” menurut anggota Biro Politik Hamas, Basem Naim.

Unit kereta kebal IDF ditempatkan di kawasan berhampiran sempadan Gaza.
Sementara itu, Qatar selaku negara perantara proses damai tersebut menyatakan usaha mereka tetap berterusan untuk menguatkuasakan gencatan senjata.
Kebimbangan semakin meningkat selepas jurucakap IDF, Effie Defrin mendedahkan rancangan ‘penaklukan’ Gaza itu termasuk pemindahan penduduk Gaza kononnya untuk melindungi mereka.
Negara antarabangsa termasuk China dan Perancis dengan lantang mengecam operasi ketenteraan baharu tersebut yang didakwa sebagai satu bentuk pelanggaran undang-undang kemanusiaan.
Bagi penduduk Palestin, sebarang cubaan mengusir mereka hanya mengimbau semula memori hitam ketika Nakba (malapetaka) yang membawa kepada penubuhan negara haram Israel pada 1948. – Agensi