Israel nafi kebumi mayat, tapi dakwa jenazah diperiksa untuk kesan tebusan

Israel nafi kebumi mayat, tapi dakwa jenazah diperiksa untuk kesan tebusan

Baitulmaqdis: Tentera Israel menafikan dakwaan bahawa tenteranya mengebumikan ratusan mayat Palestin di sebuah hospital di Gaza.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah memeriksa mayat dengan berhati-hati.

“Dakwaan bahawa tentera mengebumikan mayat (penduduk) Palestin adalah tidak berasas. Semasa operasi tentera di kawasan Hospital Nasser, selaras dengan usaha mengesan tebusan dan orang hilang, mayat yang dikebumikan oleh warga Palestin di kawasan Hospital Nasser sudah diperiksa.

“Pemeriksaan dijalankan dengan berhati-hati dan secara eksklusif di tempat-tempat yang risikan menunjukkan kemungkinan kehadiran tebusan.

“Mayat yang diperiksa, yang bukan milik tebusan Israel, dikembalikan ke tempat mereka,” kata kenyataan itu, tanpa memberikan butiran lanjut.

Terdahulu, Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata, pekerja kesihatan sudah menemukan hampir 340 mayat penduduk Palestin yang didakwa dibunuh dan dikebumikan oleh tentera Israel di Kompleks Perubatan Nasser di bandar selatan Khan Yunis.

Ketua pejabat media kerajaan Hamas di wilayah Palestin Ismail al-Thawabta, menuduh tentera Israel menggali kubur besar di hospital.

“Kami menemukan kubur besar di dalam Kompleks Perubatan Nasser. Orang yang dibunuh oleh tentera Israel,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby bercakap mengenai laporan itu pada taklimat Selasa.

“Jelas sekali kewujudan kubur besar secara umum amat membimbangkan tetapi saya tidak mempunyai apa-apa yang boleh mengesahkan kebenarannya.

“Kami pasti akan bercakap dengan rakan sejawatan Israel kami. Lihat apa yang mereka tahu,” katanya.

Tentera Israel pada Selasa berkata, tenteranya menjalankan operasi yang tepat dan disasarkan terhadap organisasi pejuang Hamas di kawasan Hospital Nasser pada akhir Februari.

“Semasa operasi kira-kira 200 pejuang Hamas yang berada di hospital sudah ditahan, ubat-ubatan yang bertujuan untuk tebusan Israel didapati tidak dihantar dan tidak digunakan, dan banyak peluru dirampas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd