TEL AVIV – Israel sedang mempertimbangkan tindakan ketenteraan secara unilateral terhadap Iran dalam beberapa hari akan datang, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini sedang mengadakan rundingan diplomatik dengan Teheran bagi mengekang program nuklear negara itu, menurut lima sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Keputusan itu dikatakan semakin serius selepas rundingan antara AS dan Iran dilaporkan hampir mencapai perjanjian awal yang mengandungi syarat pengayaan uranium – sesuatu yang ditentang keras oleh Israel.
Tindakan unilateral oleh Israel terhadap Iran akan menjadi perlanggaran ketara terhadap dasar semasa pentadbiran Trump, yang sebelum ini berulang kali menolak sebarang langkah ketenteraan tanpa melalui rundingan.
Pentadbiran Trump kini sedang menunggu maklum balas rasmi daripada Iran berhubung cadangan rangka perjanjian nuklear. Trump dalam kenyataannya turut meluahkan rasa kecewa apabila menyifatkan Teheran semakin keras dalam perundingan tersebut.
Sumber memaklumkan, Washington telah mengarahkan semua kedutaan AS di kawasan yang berpotensi dalam lingkungan serangan peluru berpandu dan pesawat Iran termasuk di Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah Timur untuk mengemukakan penilaian tahap risiko dan langkah perlindungan terhadap kakitangan serta aset AS.
Pegawai-pegawai AS dan beberapa negara lain kini dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya Israel melancarkan serangan ke atas Iran, kata mereka lagi.
Meskipun Israel sangat bergantung kepada risikan dan bantuan logistik daripada AS, tindakan serangan kali ini dijangka tidak mendapat restu Washington. Malah, buat masa ini tiada sebarang petanda menunjukkan AS akan memberikan sokongan ketenteraan seperti pengeboman atau operasi udara. Jika ada pun, ia mungkin hanya melibatkan perkongsian maklumat risikan atau bantuan pengisian minyak di udara.
Kementerian Pertahanan AS turut mengumumkan langkah pemindahan secara sukarela untuk semua keluarga anggota tentera di kawasan operasi Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), manakala kakitangan bukan penting turut diarahkan berundur dari beberapa lokasi di rantau tersebut.
Walaupun Israel lazimnya lebih suka mendapat sokongan ketenteraan AS – terutama untuk menyerang kemudahan nuklear Iran, namun tindakan pada Oktober lalu membuktikan mereka masih mampu bertindak sendiri.
Penganalisis ketenteraan Michael Knights dari Washington Institute berkata, pemindahan kakitangan dari Kedutaan AS di Iraq juga memberi mesej jelas kepada Teheran bahawa Presiden Trump tidak semestinya akan menghalang Israel daripada bertindak.
Buat masa ini, masih belum jelas sama ada Israel akan melancarkan serangan berskala kecil atau menunggu hasil rundingan nuklear disimpulkan. Namun yang pasti, ketegangan antara Israel, Iran dan AS kini berada di tahap paling kritikal sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi