Israel sahkan rampasan kapal bantuan Handala ke Gaza

Israel sahkan rampasan kapal bantuan Handala ke Gaza
Tangkap layar daripada siaran langsung YouTube Gaza Freedom Flotilla.

Tangkap layar daripada siaran langsung YouTube Gaza Freedom Flotilla.

TEL AVIV – Kerajaan Israel pada Ahad mengesahkan kapal bantuan Handala yang dalam perjalanan ke Gaza telah dipintas oleh tentera lautnya dan kini sedang dibawa menuju ke perairan Israel.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Israel menyatakan semua penumpang berada dalam keadaan selamat.

“Kapal tentera laut Israel telah menghentikan kapal Navarn daripada memasuki zon maritim di pesisir Gaza secara haram,” menurut kenyataan itu, merujuk kepada nama asal kapal terbabit.

“Kapal itu kini sedang belayar dengan selamat menuju ke pesisir Israel. Semua penumpang berada dalam keadaan selamat,” tambah kenyataan tersebut.

Sementara itu, Pejabat Media Kerajaan Gaza mengecam tindakan itu sebagai satu bentuk “lanun maritim” dan menyifatkannya sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan peraturan pelayaran laut.

“Tindakan pencerobohan yang nyata ini membuktikan bahawa rejim pendudukan bertindak sebagai kuasa samseng yang tidak mengendahkan undang-undang,” kata kenyataan pihak Gaza, yang menegaskan bahawa kapal tersebut membawa misi kemanusiaan untuk membantu lebih 2.4 juta rakyat Palestin yang terkepung dan kebuluran di Semenanjung Gaza.

Mereka turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa untuk bertindak tegas terhadap apa yang disifatkan sebagai tindakan agresif, serta mendesak agar perlindungan antarabangsa segera diberikan kepada semua konvoi bantuan ke Gaza.

Kapal Handala, yang dinamakan sempena watak simbolik perjuangan Palestin, merupakan sebahagian daripada konvoi bantuan antarabangsa yang cuba menembusi sekatan Israel bagi menghantar bekalan penting kepada penduduk Gaza yang semakin terjejas oleh konflik dan sekatan berpanjangan. – Awani

Scroll to Top