BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pada Rabu bahawa Israel kekal bersedia untuk berdepan Teheran jika perlu, walaupun satu gencatan senjata telah dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, Selasa lalu.
“Biar saya jelaskan. Kami masih mempunyai objektif yang perlu diselesaikan dan kami akan mencapainya sama ada melalui perjanjian atau melalui pertempuran yang disambung semula,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
“Kami bersedia untuk kembali berperang pada bila-bila masa yang diperlukan. Jari kami masih berada di picu. Ini bukan pengakhiran kempen, tetapi satu langkah ke arah mencapai semua objektif kami.
“Iran memasuki tempoh pemberhentian perang ini dalam keadaan teruk terjejas, lebih lemah berbanding sebelum ini,” tambahnya.
Netanyahu turut membalas kritikan pemimpin pembangkang yang mengecam beliau kerana bersetuju dengan gencatan senjata sebelum Israel mencapai objektifnya dalam perang tersebut.
“Seperti yang anda ketahui, malam tadi (Selasa) satu gencatan senjata sementara selama dua minggu antara Amerika dan Iran mula berkuat kuasa, dengan penyelarasan penuh bersama Israel,” kata Netanyahu dalam kenyataan televisyen.
“Tidak, kami tidak terkejut pada saat akhir,” katanya.
Tokoh utama pembangkang Israel, Yair Lapid, menyifatkan gencatan senjata itu sebagai bencana diplomatik bagi Israel, dengan mendakwa Netanyahu gagal mencapai matlamat negara itu.
Netanyahu telah menetapkan penghapusan atau sekurang-kurangnya pelemahan serius program nuklear Iran sebagai matlamat utama perang, dengan menyifatkannya sebagai ancaman kewujudan terhadap Israel.
Beliau juga menyeru supaya keupayaan peluru berpandu balistik Iran dilemahkan. Netanyahu juga mahu rejim Iran dilemahkan atau berpotensi dijatuhkan dan pengaruh serantau Teheran dibendung dengan menyasarkan rangkaian kumpulan sekutunya.
Dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen itu, Netanyahu menyenaraikan pencapaian perang.
“Kami memusnahkan bukan sahaja peluru berpandu sedia ada, malah alah juga kilang-kilang yang menghasilkannya. Iran kini hanya melancarkan apa yang masih berbaki dalam stoknya dan stok itu semakin berkurangan,” katanya.
“Kami telah merosakkan dengan teruk program nuklear Iran, memusnahkan infrastruktur kritikal dan kemudahan mesin pengimpar uranium,” tambahnya.
Beliau menambah bahawa Israel akan memastikan uranium yang diperkaya dikeluarkan dari Iran.
“Kami telah melumpuhkan rangkaian kewangan dan pengeluaran senjata Pasukan Pengawal Revolusi,” katanya, sambil menambah bahawa kempen itu turut menyasarkan kilang keluli Iran, kompleks petrokimia dan infrastruktur pengangkutan. – AFP




