Israel semakin tamak mahu rampas wilayah Lubnan

Israel semakin tamak mahu rampas wilayah Lubnan

TEL AVIV – “Israel wajar memperluaskan kawasan sempadan dengan Lubnan hingga ke Sungai Litani, jauh ke dalam selatan negara itu.”

Idea mengarut untuk mengilhak bahagian di Beirut itu disuarakan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich yang sebelum ini turut mencadangkan kerajaan ‘ekstremis’ pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu merampas wilayah Palestin.

Lubnan kembali terjerumus dalam konflik Asia Barat selepas gencatan senjata 2024 dicabuli pada 2 Mac lalu.

Sejak itu, perang ganas terus memuncak apabila rejim Zionis didakwa mengulangi taktik yang digunakan di Gaza dengan mengusir penduduk dari selatan Beirut atas alasan kawasan itu merupakan kubu kuat pejuang Hizbullah yang disokong Iran.

Pihak berkuasa Lubnan mengesahkan lebih 1,000 terkorban dalam kempen pengeboman sejak tiga minggu lalu dan lebih sejuta terpaksa meninggalkan rumah masing-masing kerana bimbang dengan hujan peluru yang semakin sengit.

Smotrich sering membuat keputusan sendiri untuk mengilhak wilayah lain termasuk Palestin.

Smotrich sering membuat keputusan sendiri untuk mengilhak wilayah lain termasuk Palestin.

Smotrich dengan angkuh memberitahu satu program radio Israel bahawa kempen ketenteraan di Lubnan perlu berakhir dengan realiti yang sama sekali berbeza, bukan sahaja dari segi keputusan terhadap Hizbullah, tetapi juga perubahan sempadan Israel.

“Saya sebutkan dengan tegas seperti dalam setiap perbincangan, sempadan baharu Israel mestilah Sungai Litani,” katanya yang sewenang-wenangnya mengarahkan pendudukan kawasan strategik tersebut.

Pemimpin parti kecil haluan kanan di bawah kerajaan gabungan Netanyahu itu sering membuat keputusan sendiri yang secara terang-terangan melangkaui dasar rasmi Israel.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Israel Katz juga pernah mendedahkan rancangan tak masuk akal untuk merampas kawasan di Lubnan.

“Beirut berisiko kehilangan wilayah jika tidak melucutkan senjata kumpulan Hizbullah,” menurut ugutannya sehingga menyebabkan pemerintah mula tidak senang duduk dan menuding jari menyalahkan beberapa pihak kerana menyebabkan peperangan tercetus semula di negara tersebut.

IDF menyasarkan kawasan penempatan di Haret Hreik di pinggir selatan Beirut selepas kempen serangan terus diperhebatkan.

IDF menyasarkan kawasan penempatan di Haret Hreik di pinggir selatan Beirut selepas kempen serangan terus diperhebatkan.

Beirut tawar rundingan

Kenyataan Smotrich dikatakan ‘menggugat’ Lubnan yang cuba keluar daripada kitaran pencerobohan dan pendudukan selepas rejim Zionis melancarkan serangan berulang sejak 1978 serta menduduki kawasan selatan pada 1982-2000.

Ketika ini, Beirut masih mengharapkan campur tangan kuasa asing untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan kempen pencerobohan mereka melalui tawaran rundingan dibuat Presiden Joseph Aoun.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan telah melancarkan operasi darat dan menyasarkan markas serta gudang senjata Hizbullah.

Pada akhir minggu lalu, Zionis membedil sebuah jambatan utama yang menghubungkan selatan Lubnan dengan bahagian lain negara itu selepas ia mengarahkan tenteranya memusnahkan semua lintasan di Sungai Litani dan memperhebatkan kempen perobohan rumah-rumah berhampiran sempadan selatan.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas bedilan Zionis menyasarkan jambatan Qasmiyeh yang menghubungkan perkampungan di daerah Tyre dengan kawasan lain di utara.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas bedilan Zionis menyasarkan jambatan Qasmiyeh yang menghubungkan perkampungan di daerah Tyre dengan kawasan lain di utara.

Undang-undang antarabangsa melarang tentera daripada menyerang infrastruktur awam malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kempen pencerobohan Israel di Lubnan dan arahan pemindahan berskala besar yang telah mencetuskan satu lagi gelombang pelarian di rantau itu.

Pada Isnin, IDF mengebom dua lagi lintasan di Sungai Litani di bawah pelan jahat untuk memutuskan akses di kawasan tersebut.

Sementara itu, Datuk Bandar Rmeish, Hanna Amil memberitahu pergerakan penduduk yang enggan berpindah semakin terhad.

“Bekalan elektrik dan air juga sudah terputus. Jika kesemua akses terhalang, bagaimana dengan nasib kami nanti,” ujarnya . – Agensi

Ringkasan AI

  • Israel wajar memperluaskan sempadan hingga ke Sungai Litani di Lubnan
  • Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, mengusulkan penjajahan wilayah tersebut
  • Lubnan menghadapi konflik dan kerugian besar akibat serangan Israel
  • Israel dikritik kerana melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyerang infrastruktur awam
  • Beirut berusaha mendapatkan campur tangan internasional untuk menghentikan agresi Israel
Scroll to Top