Baitulmaqdis: Tentera Israel menyerang dua tapak pelancaran roket di Gaza pada Isnin selepas projektil dilepaskan daripada salah satunya dan mendarat di dalam wilayah Palestin.
Menurut kenyataan tentera, ia kali tentera Israel menyerang sasaran di Gaza sejak dua minggu lalu dan menyumbang kepada ketegangan berhubung gencatan senjata yang rapuh dalam perang Israel-Hamas, sejak 19 Januari.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, tentera berkata, pihaknya mengenal pasti pelancaran peluru yang jatuh di dalam Gaza.
Katanya, tentera menyerang tapak pelancaran dari mana peluru itu dilepaskan, serta tapak pelancaran tambahan di kawasan itu.
Fasa pertama gencatan senjata Gaza, yang berkuat kuasa selepas 15 bulan perang akan tamat pada awal Mac, tanpa perjanjian mengenai fasa berikutnya yang boleh mengukuhkan gencatan senjata.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Ahad berkata, Israel bersedia untuk menyambung semula perang pada bila-bila masa selepas menangguhkan pembebasan tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata.
Sejak gencatan senjata bermula, pejuang Gaza sudah membebaskan 25 tebusan Israel masih hidup sebagai pertukaran untuk lebih 1,100 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel.
Mengumumkan kelewatan dalam membebaskan rakyat Palestin dalam tahanan Israel, Netanyahu memberi alasan kerana ‘upacara memalukan di Gaza” yang memaksa tebusan Israel untuk mengambil bahagian sebelum penyerahan mereka.
Dalam pada itu, Hamas memberi amaran bahawa keputusan Israel boleh menjejaskan keseluruhan perjanjian.
© New Straits Times Press (M) Bhd



