
Fasiliti nuklear Iran menjadi sasaran serangan Israel yang sekali gus meningkatkan lagi ketegangan konflik Asia Barat.
TEHERAN – Iran mengancam melancarkan serangan balas berskala besar selepas Israel menyerang dua kemudahan nuklear serta dua loji keluli utama negara itu, sekali gus meningkatkan ketegangan konflik di Asia Barat.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan Teheran akan bertindak balas secara ‘berat’ susulan serangan tersebut.
Katanya, serangan tersebut berlaku walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini berjanji menangguhkan sebarang serangan terhadap infrastruktur tenaga Iran selama 10 hari sehingga 6 April, sambil mendakwa rundingan damai dengan Teheran berjalan dengan baik.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar mengesahkan Islamabad kini menyampaikan mesej antara pegawai AS dan Iran sebagai sebahagian usaha pengantaraan bagi menamatkan konflik tersebut.
Beliau berkata, Turkiye dan Mesir turut menyokong usaha diplomatik berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Ali Jafarian memberitahu Al Jazeera bahawa sekurang-kurangnya 1,937 orang terbunuh akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas negara itu.
Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan kepada semua penduduk Lubnan yang tinggal di selatan Sungai Zahrani, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, lebih 1,100 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak 2 Mac lalu. – Agensi
Ringkasan AI
- Iran mengancam serangan balas besar selepas Israel menyerang kemudahan nuklear dan loji keluli.
- Teheran berjanji untuk bertindak balas dengan ‘berat’ selepas serangan tersebut.
- Pakistan menyalurkan mesej antara Amerika Syarikat dan Iran untuk mengurangkan konflik.
- Turkiye dan Mesir menyokong usaha diplomatik untuk mengendurkan ketegangan.
- Serangan oleh AS dan Israel menyebabkan 1,937 kematian di Iran, dan lebih 1,100 kematian di Lubnan.



